suria

PGM Sandakan Rampas Rokok Selurup Bernilai RM70,000

SANDAKAN: Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya merampas 19,890 bungkus rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM70,000 dalam dua serbuan berasingan di sini pada Khamis dan Jumaat lepas.

Pegawai Pemerintah PGM Sandakan DSP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata rokok yang dirampas itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.

Katanya serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi pada Khamis lepas di sebuah rumah di kawasan bakau sungai Lombong di Batu 7 di sini, membabitkan rampasan 4,750 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM21,200.

Seorang lelaki warga asing yang berada di rumah itu berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad Roy Suhaimi berkata serbuan kedua dilakukan pada hari berikutnya kira-kira pukul 6 petang di kawasan Kampung Pisang Jalan Batu Sapi dan berjaya merampas 7,570 bungkus rokok seludup pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM39,655.

Katanya rokok tersebut disembunyikan di dalam plastik hitam yang dilonggokkan di dalam sebuah lubang yang ditutup dengan kanvas di kawasan belukar bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata serbuan itu dilakukan oleh PGM dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan rokok di daerah ini dan tidak hanya ditumpukan di kawasan perairan. - BERNAMA

Artikel Lain