suria

Pesara Tentera Mati Ditikam Kenalan

KOTA BARU: Seorang pesara tentera dari Kampung Pauh Sembilan, Bachok, maut ditikam kenalan ketika mangsa sedang menunggu anak bongsunya pulang dari sekolah.

Mangsa, Che Ismail Che Yusof, 55, dikatakan meninggal dunia setelah ditikam di bahagian rusuk kanan oleh rakannya dari kampung yang sama kira-kira pukul 3 petang tadi. Isteri mangsa, Rahimah Mat Husin, 55, berkata, ketika kejadian itu beliau berada di rumah manakala suaminya keluar menunggu anak bongsunya pulang dari sekolah.

"Ketika kejadian itu suami saya keluar menunggu anak saya di kedai kopi dengan memakan kuih-muih di situ, kemudian dia dikatakan secara tiba-tiba ditikam oleh kenalannya itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rahimah yang merupakan suri rumah itu bagaimanapun tidak mengetahui cerita sebenar kejadian itu secara terperinci dan hanya diberitahu bahawa mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Suami saya baru sahaja melakukan pembedahan mata bulan April lalu akibat penyakit kencing manis di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Setahu saya, dia tidak pernah bergaduh atau mempunyai masalah dengan sesiapapun," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini juga suaminya itu tidak banyak berjalan-jalan sekitar rumah memandangkan baru sahaja selesai pembedahan dan matanya masih dalam pemulihan.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Supritendan Yahya Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan akan menjalankan siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain