suria

Pemandu Teksi Didakwa Rompak Beg Tangan Pesakit di Hospital

SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak beg tangan seorang pesakit wanita di Hospital Selayang dekat sini, dua minggu lepas.

Kamaruddin Ali, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Dia dituduh merompak beg tangan milik Aminah Selamat, 56, yang mengandungi wang tunai RM300, sebuah telefon bimbit jenis Nokia dan dokumen penting di kaunter Hospital Selayang, kira-kira pukul 8 pagi, 12 April lepas.

Kamaruddin yang berasal dari Kampung Nakhoda, Batu Caves, didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Kamaruddin melantik peguam bela.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim . - BERNAMA

Artikel Lain