suria

P. Kamalanathan Ikrar Segera Laksana Tugas

KUALA KUBU BARU: Ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru, P. Kamalanathan berikrar akan segera turun padang untuk bertemu dengan rakyat di kawasannya bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau berkata, kemenangan yang diperolehinya ini adalah satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan sebaik mungkin.

"Saya sedar bahawa rakyat di Hulu Selangor telah beri kepercayaan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang besar ini.

"Pada masa yang sama juga ia akan mencerminkan keprihatinan BN untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan di sini malam ini.

Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Beliau memperoleh 24,997 undi manakala Zaid 23,272 undi.

Selain itu kata Kamalanathan beliau akan turun menemui rakyat di Hulu Selangor mulai esok untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaannya kepada mereka.

Kamalanathan juga memberitahu, beliau akan segera berpindah ke kawasan Hulu Selangor bagi memudahkannya melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Mengulas mengenai kemenangannya, beliau berkata ia bukan kejayaannya seorang tetapi milik semua jentera parti khususnya Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ditanya apakah strategi yang akan dilakukan untuk menawan kembali hati pengundi Cina apabila BN kalah di majoriti peti undi kaum itu, beliau berkata: "Saya akan kerja keras, bukan sahaja untuk memenangi hati kaum Cina semula tapi juga keseluruhan rakyat di Hulu Selangor tanpa mengira kaum."

Artikel Lain