suria

NGO Sambut Baik Kemenangan BN Di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik kemenangan calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, semalam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata kemenangan Kamalanathan menunjukkan rakyat mula sedar dan bangkit membuat pilihan yang tepat.

"Rakyat kini tahu parti mana yang dapat membela nasib mereka, sebab itulah mereka pilih BN.

"Kami sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan yakin dengan kemenangan beliau dan kemenangan ini wajar berdasarkan usaha beliau semasa turun padang mengambil tahu masalah rakyat," katanya ketika dihubungi semalam.

Calon BN, Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi selepas memperoleh 24,997 undi menewaskan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang mendapat 23,272 undi.

Omar berharap Kamalanathan akan menjadi pemimpin yang adil, saksama dan agresif dalam mendengar dan menyelesaikan keluhan dan masalah masyarakat.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar percaya bahawa keputusan pilihan raya kecil itu membuktikan perpaduan kaum dan keharmonian serta pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diterima oleh rakyat negara ini.

Katanya rakyat kini lebih mengutamakan kemajuan dan pembangunan daripada segi ekonomi, pendidikan dan sosial.

"Saya berharap P. Kamalanathan dapat menangani masalah penduduk Hulu Selangor dan memajukan kawasan tersebut. Harapan mereka sangat tinggi terhadap beliau," katanya.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Tan Sri Abu Zahar Ujang juga menyambut baik kemenangan calon BN dan percaya keputusan ini melambangkan kemenangan Najib dalam memenangi hati rakyat Malaysia.

"Rakyat selesa dengan Perdana Menteri, sebab itulah mereka memilih calon BN untuk memimpin Hulu Selangor," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain