suria

Martha Stewart Kunjungi Malaysia Seminggu Mulai 19 Mei

NEW YORK: Selebriti program bual bicara terkenal Amerika Syarikat, Martha Stewart akan berkunjung ke Malaysia bersama satu kumpulan berprofil tinggi selama seminggu mulai 19 Mei ini.

Tourism Malaysia berkata dalam satu kenyataan hari ini berkata, kumpulan itu yang diketuai Datin Amy Hamidon, isteri Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York Datuk Hamidon Ali, turut disertai chef terkenal yang juga pemilik restoran Fatty Crab di New York, Zakary C. Pelaccio, dan arkitek seni taman Memrie Mosler Lewis.

"Kami telah atur pelbagai program bagi Martha Stewart dan kumpulannya,” kata Naib Presiden Tourism Malaysia di New York, Salahuddin Mohd. Ariffin dalam kenyataan itu.

Memandangkan beliau merupakan antara jenama paling terkenal di dunia, kunjungan Stewart dijangka memberi publisiti meluas tentang Malaysia melalui program yang disertainya.

Salahuddin berkata, kunjungan yang ditaja oleh Tourism Malaysia itu bertujuan mempamerkan kepada kumpulan berkenaan wajah sebenar Malaysia di sebalik konsep 1Malaysia untuk disebarkan kepada penduduk Amerika tentang keunikan Malaysia, termasuk daripada segi budaya penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keenakan makanan tempatan.

Semasa berada di Malaysia, Stewart dijadual menghadap Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan menghadiri pertunjukan “The Colours of Malaysia” serta beberapa program lain di seluruh negara. – BERNAMA

Artikel Lain