suria

Kemenangan BN Tanda Sokongan Terhadap Kepimpinan Najib

HULU SELANGOR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi parlimen Hulu Selangor merupakan isyarat jelas yang menandakan persetujuan orang ramai terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan perubahan dan pembaharuan yang sedang diusahakannya bagi membawa negara mencapai hasrat Wawasan 2020.

Kemenangan di kawasan parlimen yang mempunyai pengundi berjumlah kira-kira 64,500 itu juga menunjukkan bahawa BN bukannya semakin dilupakan orang ramai sebagaimana yang diramalkan oleh banyak pihak, selepas ia mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan pembangkang menawan lima negeri.

Kemenangan di sini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mula "menerima kembali" BN selepas menolaknya pada pilihan raya umum lepas.

Sejak pilihan raya umum itu BN mula mengorak langkah menukar gerak caranya untuk memenangi hati dan minda para pengundi, dan langkah mereka itu terbukti berkesan.

Najib, yang menjadi Perdana Menteri kira-kira setahun yang lalu; dengan bantuan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus bertindak pantas menjawab segala tohmahan terhadap kerajaan yang dibangkitkan oleh pembangkang yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan gerak langkah kedua-dua ini turut memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan BN hari ini.

Slogan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri juga dilihat sudah mula berakar umbi dalam fikiran rakyat dan ini juga memainkan peranan penting dalam membawa kemenangan BN.

Peranan Najib di arena antarabangsa, terutama selepas pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Amerika Barack Obama semasa Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington baru-baru ini menghantar isyarat jelas bahawa Malaysia sudah kembali di platform antarabangsa.

Perkara itu juga menawan hati pengundi, yang kini merasakan bahawa Malaysia sudah kembali, dengan diterajui oleh pemimpin yang tahu apa yang baik buat negara.

Kemenangan ini pasti akan menjadi motivasi kukuh untuk BN, memandangkan pembahagian taburan jumlah penduduk kawasan ini dilihat seakan-akan sama dengan jumlah penduduk di semenanjung Malaysia.

Daripada 64,500 pengundi di sini, 34,020 atau 52.7 peratus adalah dari kaum Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus Cina, 12,453 atau 19.3 peratus India dan kira-kira 1,000 Orang Asli.

Peratusan ini dilihat hampir menyamai peratusan pembahagian penduduk mengikut kaum di seluruh semenanjung.

Walaupun BN memutuskan untuk mencalonkan P.Kamalanathan dari MIC sebagai calonnya untuk pilihan raya kecil itu semasa majoriti pengundi adalah dari kaum Melayu, ia tidak menghalang semua parti komponen BN untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi meraih undi di Hulu Selangor.

Umno menggerakkan jenteranya untuk mengangkut pengundi ke pusat-pusat mengundi, dan langkah itu turut disusuli oleh komponen-komponen parti BN lain yang terdiri daripada MCA, MIC, dan Gerakan.

"Gerakan bersepadu jentera BN yang besar pada hari pengundian sentiasa penting. Ia bergerak dengan lancar hari ini. Ini mengakibatkan jumlah pengundi yang mengundi hari ini mencecah lebih 63 peratus pada pukul 2 petang.

"Apabila kami melihat momentum pengundi semakin memuncak, kami tahu bahawa ia adalah suatu berita yang tidak baik buat kami," kata seorang pemimpin akar umbi DAP di sini kepada Bernama.

Perasaan itu jelas kelihatan di pihak pembangkang apabila kebanyakan penyokong mereka dilihat berwajah muram pada sebelah tengah hari, ramai yang dapat merasakan bahawa mereka bakal kecewa, dan nampaknya calon PKR Datuk Zaid Ibrahim tidak akan dapat menawan kerusi parlimen itu.

Namun, BN perlu berbuat lebih banyak untuk meyakinkan para pengundi Cina untuk kembali kepada BN, kerana masyarakat kaum ini dilihat semakin menjauhi BN terutama jika dilihat kepada keputusan peti undi di Kuala Kubu Bharu, yang majoriti pengundi di kawasan ini adalah dari kaum Cina.

Menurut seorang penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, antara faktor-faktor utama menyumbang kepada kemenangan BN adalah kejayaan Najib menawan imaginasi orang ramai dan menunjukkan bahawa beliau adalah pemimpin rakyat.

"Satu perkara yang penting ialah mereka (BN) tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan ini, sebaliknya perlu bekerja keras untuk mengekal dan meningkatkan sokongan kepada BN," katanya.

Katanya faktor lain yang dilihat membawa kemenagan BN ialah jentera BN difahamkan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor ini amat penting, sehingga membuatkan mereka perlu sanggup menerima P.Kamalanathan, yang jelas hampir tidak dikenali di kawasan parlimen ini, untuk menjadi calon.

"Faktor lain adalah dari segi ketegasan Najib yang memutuskan bahawa kerusi itu perlu kekal diberikan kepasa MIC dalam menyanjung semangat tulus BN.

Beliau mengenepikan cadangan akar umbi Umno yang mahukan supaya kerusi parlimen itu diberikan kepada Umno dan digantikan dengan kerusi parlimen lain pada masa akan datang.

Sejak mula lagi beliau sudah bertegas supaya kerusi parlimen itu diberikan kepada MIC. Ketegasanya itu membangkitkan rasa selamat di kalangan beberapa pihak," katanya.

Dr Sivamurugan juga berkata hubungan terus Najib dengan orang ramai, dengan tinjauan mesra di bandar-bandar kecil dan desa di kawasan parlimen itu banyak meraih sokongan kepada BN.

Di barisan pembangkang pula kalangan penganalisis politik berpendapat Zaid menghadapi serangan bertubi-tubi sejak mula lagi dan sentiasa berada dalam keadaan mempertahankan diri.

"Mereka dilihat perlu melindungi Zaid. Ia menjadi satu misi untuk melindungi Zaid sepanjang tempoh berkempen. Dia dilihat perlu menghadapi pelbagai isu khususnya yang menyentuh soal moral dan agama.

BN mengesan kelemahannya yang ketara, dan terus mengambil peluang menyerangnya, terutama dalam meraih sokongan pengundi dari kaum Melayu.

"Satu fakta lagi adalah bahawa Pakatan Rakyat, gabungan yang longgar dari PAS, DAP dan PKR; tidak menghasilkan jentera yang mantap. Jentera PAS hanya mula kelihatan beberapa hari sebelum hari mengundi, jelas mereka tidak menggunakan sepenuhnya tempoh kempen tujuh hari.

Seorang pemerhati yang tidak mahu mendedahkan namanya pula berkata undi kaum India yang dilihat memainkan peranan penting pada pilihan raya kecil itu, tiba sebagaimana yang diharapkan.

Menum menurutnya pujian tidak seharusnya diberikan kepada MIC semata-mata, tetapi juga untuk yang lain seperti parti Barisan Progresif India (IPF), dan parti yang baru ditubuhkan Makkal Sakhti.

"Pada tahun 2008, gerakan kemeja oren Makkal Sakthi yang lahir dari pergerakan Hindraf berpihak kepada pembangkang. Mereka berjaya meraih undi buat pembangkang, tapi sekarang peranan mereka sudah bertukar. BN dapat merasakan bahawa parti ini boleh bergerak dan meraih sokongan kaum India, terutama dari kawasan pedalaman dan estet.

"Ini kelebihan mereka (Makkal Sakthi). Mereka mempunyai hubungan dengan orang miskin, tidak seperti MIC yang agak tertumpu kepada kelas menengah. Hulu Selangor memiliki beberapa estet seperti estet Nigel Gardner dan Taman Bukit Teratai. Ini adalah kawasan yang tidak boleh ditembusi BN pada pilihan raya 2008. Tapi sekarang keadaan sudah berbeza.

"Saya bukan berhasrat tidak mahu memberikan kredit kepada MIC. Mereka juga bekerja keras memenangi hati orang India di sini. Tapi saya merasakan Makkal Sakthi masih merupakan satu gerakan yang perlu diambil kira, dan mereka membuktikannya di sini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain