suria

Hulu Selangor: Zaid Dakwa Sistem Pemilihan Tidak Bersih

HULU SELANGOR: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim menerima kekalahannya pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor semalam tetapi mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih.

Bekas Menteri yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kota Baharu yang mendapat 23,272 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan yang memperoleh 24,997 undi mendakwa BN menang kerana membeli sokongan pengundi di kawasan itu.

Zaid yang tewas dengan majoriti 1,725 undi juga mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 200 penyokong pakatan PKR-DAP-PAS di Mini Stadium Kuala Kubu Bharu di sini yang turut dihadiri beberapa pemimpin pakatan antaranya penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor Datuk Khalid Ibrahim.

"Saya harap suatu hari nanti perjuangan pakatan rakyat akan diterima orang di sini," kata Zaid menegaskan perjuangan pakatan itu tidak tamat di Hulu Selangor.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata jentera pakatan pembangkang perlu lebih berdisiplin dan tidak boleh bersikap sambil lewa semasa menghadapi pilihan raya.

"Perjuangan ini memerlukan kekuatan fizikal dan rohani...perjuangan ini bukan untuk dilihat orang tapi melihat ke dalam diri sendiri," katanya.

Biarpun tewas kepada BN, Abdul Khalid berkata beliau dan Zaid akan berusaha membawa perubahan di Hulu Selangor dan membantu penduduk terutama membabitkan masalah tanah.

Lim pula berkata Anwar tidak hadir kerana telah berlepas untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa di Oslo, Norway. - BERNAMA

Artikel Lain