suria

Hakim Tegur Pihak Pendakwaan Kes Pecah Amanah Pegawai Khas Ronnie Liu

SHAH ALAM: Hakim Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin Mat Ghani Abdullah menegur pihak pendakwaan dalam kes pecah amanah Wong Chuan How, pegawai khas kepada exco kerajaan Selangor Ronnie Liu kerana tidak mendakwa seorang saksi dalam kes itu.

"Saya ingin tegur cara SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buat kerja, pihak pendakwaan tidak mendakwa saksi ketiga (bekas anggota Parti Keadilan Rakyat, Mohd Zaini Abd Rahman), orang yang menerima duit. Saya rasa sepatutnya dia yang dituduh, itu yang menghairankan saya," katanya.

Mat Ghani berkata demikian sebelum memutuskan untuk melepas dan membebaskan Wong, 51, daripada tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan cek RM2,500, tanpa dipanggil membela diri.

Mahkamah memutuskan sedemikian setelah berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Seramai enam saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pegawai Pendakwa dari SPRM Yusliza Mohd Yusoff hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Josiendra Abu Senin sementara Wong diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid, Salim Bashir dan Teoh Lib Peng.

Wong dibicarakan atas tuduhan melakukan pecah amanah ke atas cek bernilai RM2,500 iaitu wang peruntukan menganjurkan program gotong-royong dan ramah mesra Kampung Baru Lanjut dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek di Pejabat Daerah Sepang antara 30 Julai dan 16 Sept 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berikutan keputusan itu, Wong dilepas dan dibebaskan daripada kesemua tiga pertuduhan mengemukakan invois palsu dan pecah amanah yang dibicarakan di dua Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 2 April lepas, Hakim Azhaniz Teh Azman Teh melepas dan membebaskan Wong daripada tuduhan mengemukakan borang peruntukan dan invois palsu bagi pembekalan 2,500 unit bendera kereta bernilai RM2,500, tanpa dipanggil membela diri.

Kira-kira tiga minggu selepas itu, (21 April) mahkamah yang sama juga melepas dan membebaskan Wong daripada tuduhan pecah amanah membabitkan cek RM5,000, tanpa dipanggil membela diri.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir, Wong berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah membebaskannya daripada kesemua pertuduhan.

"Saya tiada niat untuk menipu. Saya sepatutnya berterima kasih kepada peguam-peguam bela saya dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain