suria

Dr Mahathir Yakin Imej Baru Kepimpinan BN Bawa Kejayaan Pilihan Raya Umum Akan Datang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak telah dapat memperbaharui imej kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan ia berpeluang memperoleh kejayaan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memuji peranan Najib dalam kemenangan calon BN P.Kamalanathan dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Saya fikir Datuk Seri Najib telah dapat tukar imej kepimpinan BN daripada yang terdahulu," katanya kepada pemberita selepas memberi ucap tama pada satu forum anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata BN harus melakukan post mortem tentang kehilangan sokongan pengundi Cina manakala sokongan pengundi Melayu dan India telah meningkat.

"PRU (pilihan raya umum) ke-13, ada kemungkinan kita menang, lebih dari kali ini. PRU 12 kalah bukan kerana BN, tapi orang tertentu yang rakyat tak suka," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, yang turut hadir pada forum itu, berkata kejayaan BN di Hulu Selangor menunjukkan rakyat menerima konsep 1Malaysia yang diilhamkan Najib.

"Rakyat telah yakin dan percaya apa yang dijanjikan sebelum ini untuk tingkatkan mutu kehidupan apabila kita sebut 'rakyat didahulukan'. Ini bukan satu retorik.

"Sokongan rakyat telah diterjemahkan dalam bentuk undi semalam," kata Mukhriz.

Beliau membidas tindakan pembangkang menuduh BN membeli undi.

"Mungkin itu adalah manifestasi mereka yang mengalami kekalahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain