suria

Dewan Negara: Saranan Benarkan Pengimport Beras Alternatif Selain Bernas

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus membenarkan satu lagi pengimport beras bagi mengelakkan monopoli pengimportan beras ke negara ini oleh Bernas, Dewan Negara diberitahu petang tadi.

Senator Ahmad Hussin dari Perlis berkata langkah itu perlu bagi membolehkan pengguna memilih yang terbaik.

Ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, beliau mempersoalkan mengapa Bernas yang memperoleh subsidi import masih mengalami kerugian.

"Kilang-kilang Bernas ini semua rugi di seluruh negara, walaupun ia monopoli, tapi dia rugi. Saya mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) masuk tengok kenapa kilang boleh rugi," katanya.

Ahmad mencadangkan supaya harga siling padi dinaikkan daripada RM1,000 satu tan metrik kepada RM1,500 agar penanam padi bekerja lebih kuat dan anak-anak mereka turut bekerja.

Persidangan bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain