suria

Dewan Negara: Pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga Di Peringkat Akhir - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kini berada pada peringkat akhir, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini.

Beliau berkata pindaan itu, yang memantapkan serta menambahbaik akta berkenaan, dilihat mampu membasmi isu keganasan terhadap wanita kebelakangan ini dan melindungi mereka daripada unsur-unsur diskriminasi termasuk keganasan rumah tangga di negara ini.

Antara cadangan pindaan dipertimbangkan adalah perluasan takrifan keganasan rumah tangga dengan mengambil kira aspek kecederaan emosi dan penderaan mental atau psikologi, mempermudahkan proses permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dengan menetapkan IPO boleh dibuat di daerah lain dari tempat kejadian dan memperuntukkan tiga kali percubaan untuk menyampaikan salinan IPO oleh polis kepada pesalah, katanya.

"Kementerian sentiasa sensitif dan mengambil kira keperluan semasa berkaitan isu ini melalui cadangan pindaan akta yang kini berada di peringkat akhir penyediaan," katanya ketika menjawab soalan Senator SJ Usha Nandini di Dewan Negara.

Usha Nandini ingin mengetahui adakah undang-undang sedia ada memadai untuk memberi perlindungan kepada wanita.

Sharizat berkata kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita mengadakan program literasi undang-undang dan kefahaman tentang hak-hak wanita bagi memperkasakan golongan ini mengenai bentuk-bentuk perlindungan dan pembelaan untuk menjamin hak serta kehormatan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai penderaan dan diskriminasi terhadap tahanan wanita sama ada di pusat serenti atau pusat tahanan pendatang tanpa izin di seluruh negara.

"Bagaimanapun jika ada perkara sedemikian berlaku saya minta pihak yang mengetahuinya sila tampil ke hadapan dan buat laporan agar tindakan dapat diambil," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Usha Nandini yang ingin tahu sama ada terdapat tahanan wanita di pusat-pusat tahanan di negara ini didera atau diperkosa.

Menjawab soalan Senator Datuk Akbar Ali yang bertanyakan sama ada terdapat penganiayaan terhadap petugas wanita dalam agensi keselamatan negara, Shahrizat berkata setakat ini belum berlaku lagi kejadian sedemikian tetapi ia sentiasa diawasi oleh kementerian. - BERNAMA

Artikel Lain