suria

SUPP Pilih Sepupu Mendiang MP Sibu Sebagai Calon BN

KUCHING: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sebulat suara memilih peguam Robert Lau Hui Yew sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu akan datang, kata Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

"Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti bersetuju Robert Lau Junior dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil Sibu kerana beliau merupakan calon terbaik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat CWC selama tiga jam di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata sebagai pelan kontinjensi, parti itu juga mempunyai calon pilihan kedua "jika pucuk pimpinan BN berpendapat Hui Yew masih belum mempunyai merit untuk menjadi calon BN.

"Kami telah memilih satu lagi nama jika sesuatu berlaku...lebih baik mempunyai seorang lagi (calon) sebagai langkah bersiap sedia," katanya tanpa mendedahkan nama calon berkenaan.

Dr Chan berkata nama kedua-dua calon telah diserahkan kepada Ketua Menteri dan pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Jumaat untuk diputuskan.

Mengenai peluang SUPP mengekalkan kerusi Sibu, katanya parti itu yakin dapat mengekalkan kemenangan berikutan perpaduan erat dalam kalangan parti komponen B Nnegeri dan maklum balas positif rakyat kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui konsep 1Malaysia.

Hui Yew, 45, lebih mesra dikenali sebagai Robert Lau Junior, merupakan dua sepupu kepada penyandang kerusi Sibu selama lima penggal, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Beliau diuar-uarkan dipilih sebagai calon BN berikutan penyertaan aktif beliau dalam parti dan perwatakannya yang mesra dan mudah didekati, khususnya dalam menyelesaikan masalah penjaja di bandar Sibu.

Hui Yew, yang telah menjadi anggota SUPP selama 17 tahun adalah penolong bendahari SUPP cawangan Sibu.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei.

Sementara itu, Dr Chan berkata, parti itu memutuskan untuk mencalonkan anggota Parlimen Serian selama lima penggal Datuk Richard Riot untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Menteri peringkat persekutuan yang diperuntukkan kepada parti itu.

Artikel Lain