suria

Kenapa Tidak Boleh Jadi Seorang Yang Budiman!

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat tangan P.Kamalanathan meraikan kemenangan calon Barisan Nasional itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru pada 25 April lalu. Kamalanathan menewaskan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF

KINI semuanya telah terjawab. MIC berjaya mengembalikan maruahnya di Hulu Selangor dengan kemenangan P. Kamalanathan dengan majoriti yang jauh lebih besar daripada pilihan raya 2008 yang dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu.

Kemenangan itu juga dengan jelas sekali menunjukkan Barisan Nasional (BN) telah membuat pilihan yang tepat dengan mempertaruhkan nyawa mereka di tangan seorang muka baru yang masih belum tercalar balar dalam mana-mana pertarungan politik.

Calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang sepanjang kempen pilihan raya kecil ini diselubungi dengan pelbagai persoalan dan isu peribadi khabarnya siang-siang lagi telah memberi indikasi yang seandainya beliau tewas, ia adalah kerana pada pandangan beliau, pilihan raya kecil ini berlangsung atas landasan yang tidak adil.

Zaid berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada masyarakat Hulu Selangor, tetapi mempertikaikan sama ada mereka (para pengundi) telah diberi peluang untuk mengundi.

"Kita yakin kita akan mendapat sokongan daripada rakyat tetapi soalannya ialah sama ada mereka dapat menyatakan sokongan mereka menerusi undi atau tidak. Ini kerana lokasi mereka telah berubah.Inilah masalah yang kita sedang hadapi walaupun semua kaum sama ada Melayu, Cina atau India menyokong kita," kata Zaid kepada pemberita ketika berhenti makan tengah hari pada hari mengundi.

Dan dalam nada yang sinis Zaid menambah kata, adalah penting untuk menjadi realistik.

Realitinya, ayat Zaid yang terakhir itulah - "realistik" - yang merupakan hakikat sebenar. PKR dan barisan pembangkang telah dapat menghidu kekalahan mereka menjelang tengah hari mengundi. Ini adalah satu realiti yang pahit untuk ditelan.

Tetapi masalah dengan barisan pembangkang ialah mereka mempunyai satu penyakit - iaitu penyakit suka mencari alasan apabila terasa hendak tewas atau apabila tewas.

Alasan yang paling popular ialah pertama, berlaku penipuan dan kedua ialah pilihan raya yang berlangsung tidak adil.

Ironiknya pula, apabila menang, kesemua alasan ini tidak langsung timbul malah tak kedengaran mereka berkata berlakunya ketidakadilan dan juga penipuan dalam pilihan raya.

Ini ternyata benar apabila Pakatan Rakyat menyapu bersih lima negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga kedudukan Barisan di Dewan Rakyat. Pada masa itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiba-tiba menjadi adil seadil-adilnya.

Tidak pula kedengaran SPR tidak adil dan adanya berlaku penipuan dalam proses berkempen dan mengundi. Lucu bukan!

Tidak bolehkah mereka ini belajar menjadi gentleman sikit. Tidak bolehkah apabila kalah belajar menerima kekalahan itu dengan dada yang lapang dan niat sangka yang baik.

Kenapa dalam lima lagi pilihan raya kecil yang terdahulu yang dimenangi oleh mereka, isu seperti ini tidak langsung berbangkit? Sebaliknya diraikan dengan penuh kegembiraan dan senang hati.

Adalah amat malang sekali apabila seorang lelaki budiman seperti Zaid apabila terasa tidak boleh makan cekak, siang-siang lagi cuba memberi indikasi yang pilihan raya kecil ini tidak akan menjadi pilihan raya yang adil.

Kenapa berkata demikian pada hari terakhir sahaja. Kenapa pada hari terakhir baru hendak menuduh jabatan kerajaan dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah bersekongkol untuk membantu apa yang beliau labelkan "mereka yang berkuasa".

Pada hari mengundi juga Zaid mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, cuba merasuah para pengundi secara terang-terangan. Beliau tidak memberi contoh apa yang beliau maksudkan dengan kata-kata itu. Tetapi jika ia adalah berkaitan soal menyelesaikan isu tanah peneroka Felda, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga membuat janji yang sama iaitu Kerajaan Negeri akan menyelesaikan isu tanah mereka jika Kerajaan Persekutuan gagal berbuat demikian.

Lain-lain janji adalah perkara lumrah dalam pilihan raya. PKR juga berjanji macam-macam dalam kempen kerana mereka juga menguasai kerajaan negeri dan ada kuasa untuk mengotakan janji-janji itu jika calon mereka menang.

Jadi tolonglah, kalau dah terasa hendak kalah atau apabila dah kalah, terimalah ia dengan baik. Tak perlu diciptakan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan kekalahan itu. Jadilah seorang gentleman iaitu seorang yang budiman!

Artikel Lain