suria

Empat Kematian Akibat Denggi Dalam Tempoh Empat Bulan

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kes kematian akibat demam denggi dicatat di Kuala Lumpur dari Januari sehingga kini, kata Pengarah Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Dr Sallehuddin Abu Bakar.

Beliau berkata, jumlah kes demam denggi yang dilapor di Kuala Lumpur pada tahun ini adalah tinggi berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 1,639 kes dilapor dalam tempoh Januari hingga April berbanding 1,400 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dr Sallehuddin berkata, antara lokasi yang dikesan menjadi kawasan nyamuk aedes aktif membiak di sekitar Kuala Lumpur ialah Cheras, Setapak, Kepong, Gombak dan Klang Lama.

"Kita minta kerjasama msyarakat agar memastikan kawasan dalam rumah dan persekitaran rumah bebas Aedes," katanya ketika ditemui pemberita selepas menutup program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di Flat Kelumpuk Penguin, Keramat Wangsa, di sini hari ini.

Seramai 39 peserta program Combi di kawasan perumahan itu berperanan membantu penduduk memastikan kawasan perumahan mereka bebas daripada denggi di samping memberi informasi mengenai bahaya aedes kepada penduduk setempat. - BERNAMA

Artikel Lain