PM Akan Berkempen Di Hulu Selangor - Semasa | mStar

PM Akan Berkempen Di Hulu Selangor

HULU SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan turun berkempen bersama jentera pilihan raya kecil Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor pada malam Rabu ini.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN akan melawat pusat markas BN Bukit Sentosa sebelum bergerak ke pusat pilihan raya utama BN di Kuala Kubu Baru, Hulu Bernam dan Batang Kali.

"Pada majlis yang pertama, Perdana Menteri akan bertemu calon BN P.Kamalanathan sebelum melawat tiga lagi dewan undangan negeri.

Ahmad Maslan berkata Perdana Menteri, yang kini sedang dalam rangka lawatan empat hari ke Jepun sejak Ahad, kebiasaannya tidak berkempen dalam pilihan raya kecil tetapi berbuat demikian kerana beliau merupakan Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor.

"Jadual Perdana Menteri akan disediakan dari semasa ke semasa. Ada juga kemungkinan beliau melawat kawasan ini sekali lagi pada Jumaat atau Sabtu," katanya kepada pemberita di markas BN di Bukit Sentosa di sini.

Menyentuh perkara lain, Ahmad Maslan berkata BN mendapat tiga bonus selepas masuk hari ketiga berkempen.

"Satunya Dr Halili Rahmat (Bendahari PKR Hulu Selangor) keluar PKR, keduanya, V.S Chandran (calon Bebas) menarik diri daripada bertanding manakala ketiganya BN mendapat sokongan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM)," katanya.

Katanya BN mendapat momentum dalam pilihan raya kecil ini dan lebih ramai pemimpin pembangkang dijangka meninggalkan barisan pembangkang untuk menyertai BN.

"Calon kita juga bekerja dengan baik. Beliau semakin rapat dengan para pengundi dan maklum balas yang kita terima amat baik," kata Ahmad Maslan.

Sidang akhbar itu juga turut dihadiri pemegang jawatan dalam Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), satu serpihan daripada parti PAS yang ditubuhkan pada 1995, bagi mengisytiharkan sokongan mereka kepada BN dan Najib.

Presidennya Zakaria Salleh memberitahu pemberita bahawa AKIM akan mengambil tindakan terahadap setiausahanya Mohd Adnan Ibrahim, abang kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil itu Datuk Zaid Ibrahim, kerana keluar barisan dan menyokong calon pembangkang.

"Kami berpendapat bahawa PKR dan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Beliau hanya berminat untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau tidak berminat untuk membela kepentingan orang Melayu di negara ini.

"Kami mempunyai 18,000 ahli di seluruh negara. Kami akan mengambil tindakan terhadap lapan daripada 23 anggota jawatankuasa pusat kerana memilih untuk membantu PKR. Ini bukan pendirian AKIM," katanya.

Katanya AKIM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara ini kerana berpendapat mereka yang membantu pembangkang akan menyedari kesilapan mereka dan kembali ke dalam BN.

"Kami juga meminta anggota kami yang membantu PKR dalam pilihan raya kecil ini supaya segera berhenti berbuat demikian dan letak jawatan mereka dengan segera," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

Artikel Lain