suria

Najib Dianugerahi Ijazah Kedoktoran Dari Universiti Meiji

GEMBIRA ... Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkongsi kegembiraan dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor selepas menerima pingat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Meiji di Tokyo, hari ini. Perdana Menteri dan isteri membuat lawatan rasmi di Jepun selama empat hari bermula 18 hingga 21 April 2010. -Foto BERNAMA
GEMBIRA ... Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkongsi kegembiraan dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor selepas menerima pingat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Meiji di Tokyo, hari ini. Perdana Menteri dan isteri membuat lawatan rasmi di Jepun selama empat hari bermula 18 hingga 21 April 2010. -Foto BERNAMA
GEMBIRA ... Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkongsi kegembiraan dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor selepas menerima pingat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Meiji di Tokyo, hari ini. Perdana Menteri dan isteri membuat lawatan rasmi di Jepun selama empat hari bermula 18 hingga 21 April 2010. -Foto BERNAMA

TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa dianugerahi Ijazah Kehormat Kedoktoran oleh Universiti Meiji.

Presiden Universiti Meiji Hiromi Naya menganugerahkan ijazah kehormat itu kepada Najib pada satu majlis penganugerahan khas di universiti itu di sini pada Selasa.

Turut hadir pada majlis itu adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Pemangku Menteri Luar Negeri dan Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som.

Dalam ucapan penerimaannya, Najib berkata beliau berbesar hati menerima anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Meiji, sebuah universiti tersohor kerana sumbangan besar dan pencapaian unggul universiti itu.

Perdana Menteri berkata beliau percaya Malaysia dan Jepun boleh mengadakan bermacam inisiatif di pelbagai peringkat untuk mencapai faedah kepentingan bersama dan berkongsi matlamat.

"Pertama, kedua-dua negara boleh menjalin persefahaman dan kerjasama menerusi perkongsian pintar, pembabitan dalam bidang akademik dan usahasama korporat.

"Keduanya, kita boleh berkongsi sumber-sumber untuk mewujudkan nilai dalam sistem inovasi ekosistem yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam pelbagai peringkat.

"Contohnya, jumlah penuntut dan pergerakan petugas antara kedua-dua universiti yang terlibat dalam projek-projek inovatif boleh ditingkatkan dalam pelbagai bidang yang memberi faedah kepada banyak pihak," kata beliau.

Najib berkata kedua-dua negara juga boleh memperluaskan kerangka kerja sedia ada seperti Japan Society for the Promotion of Science (JSPS) dengan Majlis Naib-naib Canselor Malaysia dalam bidang-bidang penting seperti kemapanan dan teknologi inovatif.

Perdana Menteri berkata beberapa inisiatif lain yang boleh dilakukan adalah seperti menyemak semula penubuhan Universiti Malaysia Jepun sebagai simbol komitmen baru dalam hubungan dua hala dan dalam usaha lebih bersemangat serta ekosistem dinamik bagi kerjasama intelektual.

"Namun kejayaan bagi segala usaha ini bergantung kepada komitmen bersama untuk melangkah ke hadapan," katanya.

Beliau berkata kerajaan Jepun sejak sekian lama menyokong pencapaian akademik rakyat Malaysia sehingga berjaya menghasilkan kesan kerjasama akademik dan penyelidikan bersama yang tinggi, serta menggalakkan pertukaran pakar di antara kedua-dua negara.

Selain itu, kata beliau syarikat-syarikat Jepun seperti Hitachi dan Panasonic telah menyediakan biasiswa dan tajaan ijazah sarjana dan projek-projek penyelidikan.

"Dalam hubungan ini, saya gembira mengumumkan bahawa Universiti Teknologi Malaysia, satu daripada universiti utama di Malaysia, akan menubuhkan Pejabat Satelit UTM di Universiti Meiji, yang akan meningkatkan hubungan akademik dan kerjasama penyelidikan sedia ada antara kedua-dua negara dalam bidang-bidang utama," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata menerusi Kerjasama Penyelidikan Universiti, negara-negara boleh dihubungkan menerusi penglibatan efektif dalam penyelidikan-penyelidikan penting yang akan menyumbang kepada pengetahuan dan kepakaran dalam bidang-bidang kemapanan dan inovasi serta dalam bidang ekonomi dan isu-isu sosio-alam sekitar yang kini memberi kesan kepada dunia.

Perdana Menteri berkata pada masa sama, Malaysia komited untuk menyediakan kemudahan-kemudahan dan insentif bagi menarik syarikat-syarikat penyelidikan Jepun menubuhkan operasi di Malaysia.

"Kami bersedia untuk mewujudkan persekitaran penyelidikan yang lebih menggalakkan dan subur bagi menyokong kepada lebih banyak kreativiti dan inovasi ekosistem pelaburan, menyumbang kepada sinergi kesejahteraan kedua-dua negara," kata Najib.

Beliau berkata tidak dinafikan bahawa Dasar Pandang ke Timur yang kini berusia 28 tahun berjaya menjadi magnet penarik syarikat-syarikat Jepun untuk melabur dan mewujudkan perniagaan serta pejabat mereka di Malaysia.

Pelaburan-perlaburan berkenaan, katanya membolehkan Malaysia menuju ke arah sebuah negara berpendapatan sederhana dalam tempoh sedekad.

Katanya Malaysia dan Jepun ibarat dua rakan lama dan persahabatan mereka adalah satu perhubungan berkekalan yang berasaskan kepada pandangan kepentingan bersama.

"Perhubungan kita bukan satu hubungan teman biasa, tetapi suatu hubungan yang tahan menghadapi ujian dari semasa ke semasa bertahun-tahun lamanya kerana kedua-dua negara bergerak atas kemungkinan-kemungkinan dan bukannya kepada obsesi masa lampau," kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia sesungguhnya menghargai sumbangan Jepun dalam kemajuan dan pembangunan Malaysia.

Najib berkata Jepun boleh memainkan peranan utama untuk membantu Malaysia melakukan transformasi daripada ekonomi perindustrian kepada ekonomi inovasi.

Beliau berkata dalam bidang pendidikan menerusi Dasar Pandang ke Timur, lebih 15,000 rakyat Malaysia menerima faedah, dengan sebahagian besar mereka merupakan jurutera dan golongan profesional lulusan universiti-universiti Jepun yang kini memegang jawatan utama sektor awam dan swasta di Malaysia.

Katanya Malaysia boleh menerima manfaat daripada pendidikan yang lebih luas, sumber manusia dan kerjasama membina keupayaan terutamanya antara institusi-institusi pendidikan tinggi.

Sinergi kerjasama ini boleh mewujudkan peluang-peluang baru bukan sahaja dalam bidang kemajuan sains dan teknologi tetapi juga persekitaran kebudayaan.

"Sebagaimana Malaysia banyak belajar daripada kekuatan Jepun dalam kemajuan sians dan teknologi, Jepun juga boleh memperoleh manfaat daripada kekayaan kepelbagaian Malaysia, daripada oseanografi ke perhutanan, daripada kelapa sawit ke perubatan tropikal, dan daripada kewangan Islam ke perhubungan pelbagai budaya," katanya.

Terdahulu, Najib, yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke Jepun sejak Ahad, mengadakan pertemuan dengan Anggota-anggota Parlimen Jepun di New Otani Hotel di sini.

Selepas penganugerahan ijazah kehormat itu, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan pada jamuan tengah hari yang dihadiri ahli-ahli perniagaan Jepun di hotel yang sama.

Najib juga dijadual mengadakan mesyuarat meja bulat tertutup bersama tokoh-tokoh industri jepun dan menghadiri majlis makan malam dengan rakyat dan penuntut Malaysia di sini sebelum pulang ke tanah air. - BERNAMA

Artikel Lain