suria

Malaysia Kekal Antara Tiga Hab Perkongsian Perkhidmatan Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan prestasinya sebagai antara tiga pusat perkongsian perkhidmatan terkemuka dunia dari segi tenaga kerjanya yang mahir dalam pelbagai bahasa serta pelbagai kemahiran.

Rakan Eksekutif, kewangan dan pengurusan prestasi Asia Tenggara bagi Accenture, Paul Prendergast berkata Malaysia ialah pusat ketiga terbaik bagi perkongsian perkhidmatan dunia selepas India dan China yang merupakan peserta utama.

"Lebih banyak syarikat menggunakan model "hub-and-spoke" untuk memuaskan kehendak tempatan dan pada masa yang sama memanfaatkan kelebihan global, dan Malaysia ialah platform untuk itu," kata Prendergast pada seminar ACCA Biztalk mengenai "kedudukan perkongsian perkhidmatan" di sini hari ini.

Pengarah Urusan BASF Asia-Pacific Service Centre Sdn Bhd, Lau Kin Pong berkata pusat perkongsuan perkhidmatan BASF di Malaysia menyokong perkhidmatan kewangan, perakaunan, teknologi maklumat dan sumber manusia untuk Asia Pasifik, yang menyokong pelbagai bahasa.

"Majoriti petugas kami dalam perkongsian perkhidmatan yang berpejabat di Malaysia adalah daripada Generasi Y, dan kami memberi tumpuan terhadap menarik pekerja berpengetahuan untuk merangsang kerjaya sebagai profesional kewangan," kata Lau.

Ketua perkongsian perkhidmatan dan penyumberan dan pengurusan portfolio Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC), Mohd Safuan Mohd Zairi berkata bagi mengekalkan kedudukan Malaysia antara tiga pusat perkhidmatan perkongsian utama, Malaysia perlu memastikan ia memiliki bakat yang sesuai untuk bidang khusus.

Mohd Safuan berkata kerajaan menerusi MDEC, menyediakan dana untuk program pembangunan keupayaan untuk mereka yang berminat mengikuti kursus khusus profesional untuk meningkatkan kemahiran mereka.

"Prestasi Malaysia dalam industri perkongsian perkhidmatan sangat baik meskipun mempunyai pangkalan penduduk yang kecil berbanding India dan China," kata Mohd Safuan.

Prendergast juga berkata kedudukan perkonsian perkhidmatan sentiasa berubah dan Malaysia perlu bertindak seiring dengan perubahan global dalam industri itu, Perkongsian perkhidmatan yang matang kini menawarkan perkhidmatan yang bernilai tinggi, analisis perniagaan dan menyokong keputusan.

"Perkongsian perkhidmatan juga memberi tumpuan terhadap teknologi, pelaburan dan membolehan hasil baharu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain