suria

Lepas Arak Zaid Jawab Tuduhan Berjudi Pula

KUALA KUBU BARU: Selepas terpaksa memberi penjelasan berhubung isu mengambil minuman keras, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dalam satu ceramahnya semalam perlu menjelaskan dakwaan yang mengatakan dia memiliki beberapa ekor kuda untuk berjudi.

“Pemimpin Umno tidak tahu membezakan antara sukan dan berjudi. Apabila hendak berjudi mereka pergi ke kasino seperti di London dan bazirkan jutaan ringgit di sana...Itu tak pulak.

“Menunggang kuda pernah menjadi hobi saya satu ketika dahulu sekarang tidak lagi. Saya pernah memiliki seekor kuda yang kuat dan sangat hebat untuk bersukan bukan berjudi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Padang Bola di Ampang Pecah di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa blog anti-pembangkang yang mendakwa Zaid mempunyai beberapa ekor kuda unuk berjudi.

Mengulas lanjut, Zaid berkata kuda yang dimilikinya digunakan bertanding dalam beberapa kejohanan kuda yang diadakan di dalam dan luar negara.

“Saya tidak berjudi dan jangan kata saya berjudi. Saya memiliki kuda untuk bersukan.

“Saya cuba untuk menjadi seperti Tunku Abdul Rahman mempunyai seekor kuda yang pernah menang dalam satu pertandingan kuda di Melbourne, Australia tapi kuda saya tidak sehebat kuda Tunku,” katanya.

Tegasnya, jika BN mahu menjadikan perkara tersebut sebagai isu untuk menyerang peribadinya sekali lagi beliau tidak kisah dan ia terpulang kepada mereka.

“Boleh dedahlah kita tidak boleh larang orang nak dedahkan apa pun. Tapi soalnya rakyat boleh menilai apa jua pendedahan yang dibuat oleh mereka.

“Sebagai pemimpin kita jangan takut orang menyerang peribadi kita, macam pemimpin-pemimpin Umno,” katanya.

Beliau menyifatkan pendedahan peribadi dan masa lampau seseorang merupakan satu perkembangan politik yang sihat.

Jelasnya, sebagai seorang pemimpin mereka tidak boleh menyorokkan kisah lampau masing-masing.

“Kita perlu telus dan menegakkan kebenaran untuk menjadi seorang pemimpin yang berprinsip,” ujarnya.

Sementara itu, Zaid berkata peluangnya untuk menang pada pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak akan terjejas dengan tindakan bekas Bendahari Hulu Selangor, Datuk Dr Halili Rahmat keluar parti itu dan menyertai Umno semalam.

“Halili berhenti daripada PKR tidak akan menjejaskan peluang saya kerana bila lompat ia selalu berkaitan dengan masalah peribadi dengan parti.

Semalam, Dr Halili yang juga antara pengasas PKR di awal penubuhannya mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Umno.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Baru menegaskan tindakan calon Bebas, Johan Mohd Diah tidak ada bezanya kepada beliau.

“Satu lawan satu pun tetap sama tidak ada bezanya,” katanya.

Semalam, Johan yang juga bekas AJK Pemuda Cawangan Puncak Perdana Shah Alam menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini.

Penarikan diri beliau memberi peluang kepada saingan satu dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan dan Zaid daripada PKR.

Terdahulu, seorang lagi calon Bebas, VS Chandran menarik diri atas alasan ingin memberikan sokongan penuh kepada calon BN.

Artikel Lain