suria

BN Bukan Dalang Dua Calon Bebas Tarik Diri: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bukan dalang terhadap tindakan dua calon Bebas menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini, kata Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata tidak wujud "permainan" atau taktik sedemikian dalam BN.

Malahan sebelum ini BN sendiri tidak tahu siapa calon lain yang berminat bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana mereka hanya memberikan tumpuan kepada calon BN sahaja, katanya pemberita selepas melancarkan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari Selasa.

Semalam dua calon Bebas V.S Chandran, bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor dan Johan Md Diah yang juga anggota jawatankuasa Pemuda Umno Shah Alam menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Shahrizat juga berkata jentera pilihan raya Wanita BN akan mempergiatkan kempen untuk calon BN P.Kamalanathan yang akan menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.

"Kehebatan pergerakan Wanita Umno berkempen secara berhemah juga menyebabkan Wanita PKR turut meniru cara Wanita Umno berkempen," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain