suria

Asri Beri Keterangan Kepada JAIS

PETALING JAYA: "Artikel berkenaan ditulis untuk memberi kesedaran umum supaya pihak yang berkenaan dapat menyiasat dengan lebih lanjut," Kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung 'upacara telan air ludah ustaz' dalam kolum Malaysiakini baru-baru ini.

Menurutnya artikel berkenaan ditulis atas dasar ingin membantu membuat pendedahan mengenai perkara negatif yang berlaku berkaitan dengan agama Islam.

"Artikel itu adalah sebagai expose kepada kepincangan yang sedang berlaku, selebihnya pihak berkuasa perlu menyiasat," katanya.

Dalam pada itu, satu keterangan secara lisan telah dibuat oleh Mohd Asri hari ini kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung perkara itu.

Beliau yang disoal siasat selama sejam oleh tiga pegawai daripada bahagian penyelidikan dan pembangunan JAIS turut ditemani oleh dua orang peguamnya - Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Bagaimanapun, dalam sesi tersebut, peguamnya tidak dibenarkan masuk menemaninya.

"Perjumpaan berlangsung dengan baik, saya memberitahu mereka tentang apa yang mereka ingin tahu berhubung tulisan itu tetapi tidak memberi maklumat terperinci," ujarnya.

Tambahnya lagi, maklumat yang ditulis adalah sahih dan beliau yakin dengan maklumat tersebut tetapi enggan mendedahkan sumber yang diperolehinya.

"Jika setiap kali saya dedahkan sumber saya, nanti tiada lagi orang nak beri maklumat kepda saya," katanya sinis.

Menurutnya, aktiviti 'ludah' berkenaan dilaporkan berlaku di sebuah masjid di Ampang dan meminta pihak JAIS menjalankan siasatan.

Beliau juga tidak pasti sama ada akan dipanggil sekali lagi untuk proses tersebut dan tidak jelas disiasat di bawah seksyen apa.

Sementara itu, Asri turut mengulas mengenai laporan polis yang dibuat terhadap dirinya dan laman web Malaysiakini atas dakwaan mengeluarkan artikel berunsur hasutan.

"Saya menjemput rakyat Malaysia membaca sendiri artikel tersebut. Buat penilaian seimbang. Ia berkaitan sejarah. Buku-buku sejarah sekolah kita menceritakan lebih dari itu.

"Artikel itu bukan berkaitan hari ini, ia berkaitan dengan sejarah sebelum merdeka. Harap ia satu promosi untuk rakyat Malaysia membaca sendiri artikel itu," katanya.

Asri juga memohon kepada semua rakyat negara ini supaya melawati laman webnya drmaza.com untuk mendapat gambaran sebenar mengenai artikel tersebut.

Semalam, kira-kira 50 orang wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat laporan polis terhadapnya kerana mengeluarkan artikel berunsur hasutan.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Yusri Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Dang Wangi kira-kira pukul 11.30 pagi.

Beliau juga membuat laporan polis itu turut dibuat terhadap laman web Malaysiakini kerana menyiarkan artikel tersebut yang bertajuk 'Cabaran Gerakan Pembaharuan' bertarikh 4 April lepas.

Artikel Lain