suria

Tiga Beranak Disamun Tiga Penjenayah Di Paloh Hinai

KUANTAN: Tiga lelaki bersenjatakan pemotong besi dan kayu memecah masuk rumah sebuah keluarga dan menyamun tiga beranak itu dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Kuala Lepar, Paloh Hinai dekat Pekan, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata tiga suspek dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 20-an itu memasuki rumah peniaga kedai makan berusia 55 tahun itu melalui tingkap belakang rumah kedai terbabit dengan mengumpil dan memotong besinya pada pukul 3.30 pagi.

Beliau berkata suspek mengumpulkan mangsa bersama isterinya berusia 51 tahun dan anak perempuan mereka berusia 15 tahun dan mengikat kesemua mereka sebelum menggeledah rumah terbabit.

"Suspek mengugut mangsa supaya menyerahkan barang kemas serta wang simpanan jika tidak mahu diapa-apakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yahaya berkata ketiga-tiga suspek mengambil wang tunai RM600, tiga buah telefon bimbit, sepuluh helai kemeja dan dua jam tangan dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM3,000 daripada mangsa.

Katanya mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana kesemua mereka menutup muka dengan kain pelikat, baju serta tuala dan mereka dipercayai orang tempatan berdasarkan pertuturannya menggunakan loghat utara ketika bertanyakan sesuatu kepada mangsa.

Yahaya berkata apa yang melucukan ialah salah seorang suspek merayu-rayu meminta maaf daripada mangsa dan mencium tengkuk si suami kerana mengambil sepuluh helai kemeja berjenama miliknya.

"Suspek juga menghulurkan wang RM50 kepada anak mangsa untuk dibuat belanja sebelum mereka melarikan diri," katanya.

Menurutnya mangsa sekeluarga yang tidak mengalami sebarang kecederaan, membuat laporan polis di Balai Polis Paloh Hinai kira-kira 5.49 pagi dan polis sedang giat memburu ketiga-tiga suspek. - BERNAMA

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain