suria

Pelajar Resah Tak Dapat Kembali ke UK

PETALING JAYA: Pembatalan penerbangan ke beberapa destinasi utama Eropah terutamanya di United Kingdom ekoran letusan gunung berapi di Iceland telah mencetuskan keresahan di kalangan beberapa pelajar Malaysia yang kini sedang bercuti di tanah air.

Ini kerana pembatalan tersebut telah menjejaskan kepulangan mereka untuk menduduki peperiksaan semester akhir.

Seorang pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di King College University, London misalnya terpaksa meminta pertolongan rakannya untuk mengemukakan laporan projek tahun akhirnya semalam kerana penerbangannya ke London telah dibatalkan.

Projek tersebut menyumbang satu pertiga daripada markah keseluruhan untuk peperiksaan tahun akhirnya.

Zee Kin, yang berasal dari sini berkata, dia kini resah mengenangkan sama ada dia dapat pulang semula ke London tepat pada masanya sebelum peperiksaan akhir bermula bulan depan.

Zee adalah sebahagian daripada pelajar Malaysia yang terkandas di tanah air dan tidak dapat segera kembali ke universiti masing-masing akibat pembatalan penerbangan ke beberapa destinasi utama Eropah.

Kebanyakan universiti di UK dan Eropah memulakan pengajian semester semalam.

“Tempoh dua minggu dari sekarang sangat getir bagi kami semua kerana kami sepatutnya membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan akhir.

"Dalam tempoh ini juga, akan ada kelas ulangkaji yang dikendalikan oleh tutor dan juga pembelajaran secara berkumpulan,” kata Zee Kin yang kini terpaksa menjadualkan semula penerbangan baliknya pada 1 Mei depan menggunakan Penerbangan Emirates.

Sementara itu, dua pelajar A-level dari Cheltenham Ladies College, turut menyatakan rasa resah dan gelisah mereka ekoran pembatalan penerbangan mereka ke UK.

Pelajar tahun pertama, Puteri Suraiya Afzan, berkata, penjadualan semula penerbangan bermakna mereka akan terlepas kelas tusyen yang dikendalikan oleh tutor sebagai persiapan untuk peperiksaan bulan depan.

“Saya sebenarnya benar-benar terdesak untuk kembali segera ke UK kerana pensyarah saya akan menghabiskan silibus A-level kami dalam dua minggu ini. Tapi nampaknya saya terpaksa melupakan kelas tambahan kami itu,” ujar Suraiya ketika dihubungi.

Kawannya, Gemma Lim, pelajar tahun akhir program A-level turut menyatakan rasa kecewa dan sedih selepas dimaklumkan bahawa penerbangannya ke London telah dibatalkan.

“Saya sepatutnya terbang balik ke London Jumaat lalu tetapi kemudian dijadualkan semula untuk terbang Ahad lepas tetapi penerbangan itu pun dibatalkan juga.

“Pihak penerbangan telah memberikan beberapa jadual alternatif ke Rom tetapi saya dapati penjadualan seperti ini menyusahkan pelajar seperti saya kerana kami membawa bagasi yang banyak dan juga melibatkan kos yang tinggi,” ujar beliau.

Buat masa ini, kata Gemma, mereka mengikuti ulang kaji dan tutoring melalui internet.

Manakala seorang lagi pelajar A-level dari Heathfield Boarding School, Natasha Wah Idris berkata, dia juga kini sedang merasai tekanan akibat terlepas kelas.

Minggu ini, kata Natasha adalah minggu yang paling getir memandangkan ia adalah minggu ulangkaji terakhir kepada mereka semua dan pelajar akan bertanya apa yang mereka tidak faham kepada tutor.

“Dan yang paling mengecewakan ialah saya sepatutnya menyertai kelas ke hari terbuka Universiti Cambridge anjuran kolej kami dan saya akan terlepas peluang keemasan ini kerana saya masih tersadai di Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain