suria

MAS Lancar Penggunaan Pesawat B747 Ke Rome

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan menggunakan sebuah pesawat B747 yang mempunyai 352 tempat duduk pada 11.45 Isnin malam bagi membolehkan lebih banyak penumpang ke Eropah membuat pilihan untuk terbang ke Rome.

Langkah ini menyediakan tambahan 68 tempat duduk kepada penumpang, berbanding jumlah tempat duduk dalam pesawat B777 yang lazim digunakan syarikat penerbangan itu, kata MAS dalam kenyataan Isnin.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu berkata pihaknya bercadang mengadakan penerbangan tambahan ke Rome Rabu ini dengan menggunakan pesawat B777, tertakluk kepada kelulusan penggunaan ruang udara dan keadaan cuaca.

MAS mengadakan penerbangan tiga kali seminggu ke Rome iaitu pada Isnin, Khamis dan Sabtu.

"Penumpang yang membuat pilihan ini bertanggungjawab bagi perjalanan seterusnya ke destinasi akhir masing-masing setelah mereka tiba di Rome," kata kenyataan itu.

Semalam, penerbangan MAS ke Rome berlepas seperti yang dijadualkan iaitu pada pukul 11.45 malam dengan membawa 246 penumpang. Ia adalah satu-satunya penerbangan ke Eropah dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Penerbangan dari Rome ke Kuala Lumpur pula berlepas pada pukul 1.45 tengah hari ini (waktu tempatan) dengan membawa 270 penumpang.

Kenyataan itu berkata penerbangan ke London, Amsterdam, Paris dan Frankfurt pada 20 April tetap dibatalkan.

Kenyataan itu menyebut bahawa penumpang yang terjejas oleh pembatalan penerbangan diberi tiga pilihan - pulangan bayaran sepenuhnya, penukaran tiket bagi penerbangan pada masa lain, membuat tempahan semula bagi penerbangan berikutnya yang ada.

Bagi penumpang transit, mereka boleh membuat tuntutan bagi bahagian perjalanan yang tidak dibuat di pejabat penjualan tiket MAS sebaik saja pulang ke destinasi asal masing-masing, kata kenyataan itu.

MAS berkata penumpang juga boleh membuat penukaran tarikh perjalanan pada 22 April dan tempoh perjalanan boleh ditunda sehingga 31 Mei, manakala tuntutan balik bayaran boleh dibuat pada 22 April.

MAS juga menyediakan talian telefon baru 03-7884 1234 bagi penumpang yang terkandas di Kuala Lumpur untuk menghubunginya.

Penumpang disaran menyemak status penerbangan sebelum ke lapangan terbang atau menghubungi pusat panggilan MAS melalui talian 1300-88-3000 (di Malaysia) atau 603-78433000 (di luar Malaysia) bagi mendapatkan bantuan. - BERNAMA

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain