suria

Tindakan Baling Telur Busuk Di Masjid Gambarkan Sikap Sebenar Pembangkang - Zambry

PANGKOR: Tindakan pemimpin dan penyokong pembangkang yang membaling telur busuk pada perhimpunan membantah isu syarikat perunding, Apco Worldwide di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh Jumaat lepas jelas menggambarkan sikap sebenar pembangkang.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kejadian yang berlaku itu menggambarkan sikap dan tingkah laku mereka yang tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi di tempat yang mulia dan suci.

"Bagi saya, tidak wajar tindakan sebegini...apa yang berlaku jelas menunjukkan tindakan ini lebih bermotifkan politik bagi meraih simpati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-31 Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pangkor di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, pemimpin dan penyokong pembangkang yang menyertai perhimpunan itu di pekarangan masjid itu membaling telur busuk hingga mencemari masjid dan jemaah yang baru selesai solat Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 2.05 petang itu, peserta perhimpunan anjuran Pemuda Pakatan Pembangkang Perak itu dibekal plastik berisi telur busuk dan diminta membalingnya ke arah papan tanda yang turut tertera logo Israel dengan lambang Umno di tengah-tengahnya, manakala di kiri kanan diletakkan logo 1Malaysia dan 1Israel, selain tertera perkataan Apco dan Zionis.

Dr Zambry berkata dalam apa juga tindakan yang ingin dilakukan, pihak berkenaan perlu memastikan kebenaran tuduhan yang dilemparkan terhadap syarikat perunding itu sebelum sebarang tindakan diambil.

"Seandainya ia benar-benar berlaku...ambil cara terbaik dalam mengatasi isu ini dan bukannya dengan menjadikan rumah ibadah kita sebagai tempat untuk meluahkan pandangan berunsur politik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain