suria

Rakyat Malaysia Terkandas Di Paris Mohon Bantuan Kedutaan

KUALA LUMPUR: Tujuh orang rakyat Malaysia yang terkandas di Perancis ekoran penangguhan penerbangan pulang, memohon bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Paris.

Salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas itu, Pengarah Pemasaran Kayusaha Corp Sdn Bhd, Azman Abdul Rahman berkata mereka baru selesai menyertai Ekspo JEC Bio-Composite 2010 di Porte de Versailles selatan Perancis dari 13 hingga 16 April.

"Kami semuanya dalam bidang Bio-Composite, iaitu suatu perusahaan yang cukup baru serta menarik perhatian banyak pihak di Eropah. Kami amat berharap pihak kedutaan dapat membantu kami," katanya kepada Bernama melalui telefon dari Paris.

Katanya mereka semua baru menceburkan diri dalam perniagaan dengan sumber yang sangat terhad.

Kumpulan itu terkandas akibat letusan gunung berapi di Iceland pada 15 April yang menyebabkan semua penerbangan keluar dari Paris sehingga Ahad, 18 April dibatalkan.

Menurutnya berita TV TF1 dan CNN, semua lapangan terbang di Perancis diarah tutup sehingga tengah hari Isnin. "Apabila kami menelefon seorang yang bernama Mahyudin di Kedutaan kita di Paris dan menceritakan keresahan dan kesusahan kami, ini yang dia jawab kepada kami: " Kedutaan tidak dapat bantu kecuali memberi maklumat saja. Kedutaan tiada bajet untuk membantu dan kedutaan tiada fasiliti untuk menumpangkan sesiapa pun," kata Azman.

"Apabila timbul kecemasan seperti ini, kami sangat memerlukan bantuan. Tanpa sebarang bantuan kami akan tersepit. Jika tersepit berlanjutan, kami terpaksa keluar hotel dan mula berkhemah di Airport Charles De Gaulle dengan Bendera Malaysia di sisi beg-beg kami" katanya.

Beliau dan semua rakyat Malaysia yang lain yang sepatutnya kembali ke tanah air pada Sabtu berkata mereka telah beberapa hari menanggung kos penginapan harian dan masih tidak pasti bila boleh terbang keluar dari Paris.

"Kos makanan paling murah pun 20 euro setiap waktu makan dan hotel pun 60 euro setiap hari. Kami bawa kewangan hanya cukup untuk seminggu semasa ekspo. Kini kami sudah berada di luar bajet yang kami peruntukan dari sumber yang sangat kecil," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain