suria

Rakyat Malaysia Di Papua New Guinea Selamat, Kata Kohilan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Papua New Guinea disahkan selamat berikutan kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter yang menggegarkan negara itu hari ini, kata Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay.

Beliau berkata mengikut laporan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, gempa bumi itu berlaku tidak jauh dari Lae, bandaraya kedua terbesar di Papua New Guinea.

"Kami telah menghubungi rakyat Malaysia di Lae, setakat ini semuanya selamat. Dilaporkan hanya beberapa rumah dan bangunan di kawasan itu mengalami gegaran," katanya kepada Bernama semasa dihubungi.

Kohilan berkata keadaan itu sedang dipantau.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan bahagian barat Papua New Guinea, 316km utara Port Moresby dan 3,463km tenggara Kunak, Sabah pada 7.15 pagi ini.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu tidak mendatangkan ancaman tsunami.

Artikel Lain