suria

Penerbangan Anggota Bakti Dijadual Semula

NEW YORK: Pesawat yang membawa pulang Anggota Badan Amal Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) melalui Eropah, terpaksa dijadual semula ekoran ruang udara di kebanyakan lapangan terbang negara itu ditutup akibat debu gunung berapi di Iceland yang boleh membahayakan penerbangan.

Para anggota BAKTI itu yang berada di Washington minggu lepas untuk melawat pusat kanak-kanak cacat dan pusat belia berisiko tinggi dan tiba di New York pada Khamis lepas, tersenyum apabila penerbangan mereka dijadual semula.

Mereka yang sepatutnya berlepas pulang dengan Malaysia Airlines (MAS) melalui Eropah pada malam semalam akhirnya akan menaiki Emirates Airlines melalui Dubai pada petang ini.

Antara mereka yang terjejas ialah isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datin Seri Shuryani Shuaib, isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Prof Datin Seri Aishah Salleh dan isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah.

Pada Jumaat lalu, anggota BAKTI itu berada di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) apabila isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berucap pada Forum Wanita Antarabangsa "First Ladies Speak."

Mereka juga menghadiri penganugerahan Anugerah Keamanan Antarabangsa dan Harmoni kepada Rosmah daripada Majlis Perniagaan untuk Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika Syarikat di St Regis Hotel pada malam Jumaat lalu.

Selain anggota Bakti, penerbangan yang membawa para pegawai kerajaan dan anggota media yang membuat liputan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat selama seminggu juga terjejas.

Ramai yang pulang melalui Eropah kini cuba menjadual semula penerbangan mereka melalui kawasan yang tidak terjejas dengan debu gunung berapi itu. - BERNAMA

Artikel Lain