suria

Pasukan Pemantau Harga, Pegawai Penguatkuasa Mula Bertugas Di Hulu Selangor

HULU SELANGOR: Lima pasukan pemantau harga dan pegawai penguatkuasa dengan kekuatan 25 orang kini mula bertugas untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya berikutan musim pilihan raya kecil bagi Parlimen Hulu Selangor.

Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan itu menjelajah ke seluruh kawasan di Hulu Selangor bagi memantau harga barangan berikutan kehadiran luar biasa orang ramai di musim pilihan raya kecil ini.

"Kita menambah pasukan pemantau harga bagi membantu pegawai dan penguatkuasa tempatan bagi memantau harga barangan dijual mengikut senarai harga yang ditetapkan selain mengenal pasti kedai yang menaikkan harga di sekitar sini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Awam Kuala Kubu Baru dan Pasar Peladang di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kesedaran peniaga di sekitar Kuala Kubu Baru cukup tinggi dengan mempamerkan harga barangan keperluan yang dijual dan tiada sebarang kenaikan harga.

"Setakat ini harga masih okay seperti biasa sebelum penamaan calon dan kita akan sentiasa memantau. Namun, pengguna juga perlu melaporkan kepada pihak kementerian jika ada sebarang kenaikan harga dikenakan," katanya.

Beliau mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan di sepanjang musim pilihan raya dengan mengenakan harga yang tidak sepatutnya, sebaliknya menambah produk barangan keperluan bagi menampung kehadiran orang ramai ke pekan ini.

Menurutnya, pengguna boleh menyalurkan maklumat dan mengemukakan aduan terhadap sebarang kenaikan harga barangan kepada bilik gerakan kementerian di Kuala Kubu Baru yang dibuka sepanjang masa termasuk menghubungi talian bebas tol 1800-886-800 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255.

"Pegawai terbabit yang berpakaian seperti orang awam mengumpul maklumat berkenaan harga barangan serta membuat laporan dan berdasarkan laporan itu, pasukan penguatkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya kepada peniaga yang ingkar," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata semua pihak termasuk pembangkang perlu menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dengan berkempen secara berhemah sepanjang pilihan raya kecil ini.

"Kempen pilihan raya yang baru masuk sehari ini masih terkawal dan semua pihak termasuk pembangkang harus menghormati demokrasi. Kita tidak menyekat usaha berkempen, berkempenlah dengan baik jangan buat provokasi dan menimbulkan keributan sehingga berlaku pergaduhan," katanya.

Pilihan raya kecil pada 25 April ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan akan ditentang oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S. Chandran dan Johan Mohd Diah, seorang peniaga.- BERNAMA

Artikel Lain