suria

Najib Tiba Di Tokyo Bagi Lawatan Rasmi Empat Hari Ke Jepun

TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Ahad untuk memulakan lawatan rasmi empat hari ke Jepun atas jemputan kerajaan Jepun.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Jepun sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda dari Honolulu, USA pada kira-kira 8 malam waktu tempatan (7 malam Malaysia) dan mereka disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Pemangku Menteri Luar dan isterinya Datin Seri Masnah Rais.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som.

Najib dan anggota rombongannya kemudiannya beredar ke kediaman tetamu negara, Istana Akasaka, tempat perdana menteri menginap sepanjang lawatan.

Semasa di Tokyo, Perdana Menteri dijadual menghadap Maharaja Akihito dan Maharani Michiko.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama dan menghadiri jamuan malam rasmi dihoskan oleh Hatoyama.

Perdana Menteri dijadual melawat loji kitar semula Jepun, berucap kepada ahli perniagaan Jepun dan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin industri Jepun serta menerima ijazah doktor kehormat daripada Universiti Meiji.

Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakyat dan pelajar Malaysia di Tokyo sebelum kembali ke tanah air.

Lawatan itu amat penting kerana ia mencerminkan hubungan kukuh yang sekian lama terjalin antara Malaysia and Jepun yang telah membawa kepada pemupukan kerjasama erat dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pembinaan kapasiti melalui Dasar Pandang Ke Timur, pertukaran teknologi, pertukaran kebudayaan dan pelancongan serta memperluaskan kerjasama dalam bidang-bidang baru.

Lawatan itu juga memberi peluang kepada pemimpin kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa kepentingan bersama. - BERNAMA

Artikel Lain