suria

Petronas Jelaskan Kedudukan Jualan Gasoline Ke Iran

KUALA LUMPUR: PETRONAS menjelaskan bahawa jualan gasolin ke Iran, adalah berasaskan kepada transaksi komersil.

PETRONAS berkata menerusi anak syarikatnya, PETRONAS Trading Company (PETCO), ia menjual gasolin setempat daripada pedagang pihak ketiga dan membekalkannya kepada para pelanggannya di Iran.

Penghantaran terakhir gasolin ke Iran dibuat pada pertengahan Mac lepas, katanya dalam satu kenyataan bagi menjelaskan pelbagai laporan media mengenai status bekalan gasolin ke Iran.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa laporan media asing yang memetik beliau sebagai berkata Malaysia sudah menghentikan bekalan gasolin ke Iran, sebagai tidak tepat.

"Ia tidak betul dan keputusan itu bukan diambil bersendirian oleh Petronas. Ia membabitkan jualan setempat dan ia tidak lagi diperlukan, oleh itu mereka tidak lagi melakukannya (menjual)," katanya kepada wartawan Malaysia pada Jumaat.

Najib berkata ia merupakan transaksi komersil semata-mata dan jika ada permintaan untuk jualan setempat, terpulang kepada pihak-pihak terbabit memutuskannya.

Laporan media mengaitkan penghentian jualan itu akibat tekanan antarabangsa terhadap Iran membabitkan program nuklearnya dan pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington minggu lepas, Najib mengadakan pertemaun dua hala dengan Presiden Barack Obama. - BERNAMA

Artikel Lain