suria

Pastikan Calon BN Kunjungi Semua Kawasan - Muhyiddin

HULU SELANGOR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu seboleh-bolehnya calon Barisan Nasional P.Kamalanathan mengunjungi setiap kawasan di Parlimen Hulu Selangor yang sebesar Melaka dalam tempoh lapan hari ini.

Katanya, sebagai orang baru yang kurang dikenali pengundi, jadual kempen beliau perlu disusun agar tidak ketinggalan untuk mengunjungi semua kawasan di Hulu Selangor.

"Oleh kerana dia baru, tolong ambil masa untuk pergi semua kawasan di Hulu Selangor. Mesti meliputi semua kawasan dalam masa lapan hari lapan malam ini.

"Maknanya tugas beliau adalah berat, jadi tolong pastikan jadual yang disusun membolehkan beliau dapat mengunjungi seluruh kawasan dan jumpa sebanyak mungkin pengundi," katanya ketika memperkenalkan calon BN itu kepada pengundi di markas mini BN di Kuala Kubu Baru di sini, hari ini.

Muhyiddin juga menyarankan Kamalanathan agar sentiasa membawa isterinya S. Shobana ke setiap lokasi kempen bagi mengelak sebarang eksploitasi yang mungkin ditimbulkan pembangkang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN mahu Kamalanathan mematuhi segala jadual yang telah disusun parti bagi mengelakkan pengundi merasa tidak selesa apabila terpaksa menunggu terlalu lama ataupun akibat perubahan jadual di saat akhir.

Katanya, calon juga tidak perlu menghabiskan masa yang lama di satu tempat dengan berceramah sebaliknya beliau perlu pantas bergerak ke kawasan lain memandangkan tempoh kempen yang diperuntukkan adalah singkat.

"Kalau pergi beliau hanya berucap dalam masa tiga hingga lima minit. Perkenalkan nama, lahir di mana dan kata saya telah terpilih sebagai calon BN. Sokong dan pilihlah saya. Saya janji jika terpilih saya akan menjadi wakil rakyat yang baik untuk anda semua. Itu sahaja," katanya.

Ketika menyampaikan ucapan sulungnya selepas disahkan sebagai calon BN, Kamalanathan dengan Bahasa Malaysia yang fasih berharap pengundi-pengundi di Hulu Selangor memberikan peluang kepadanya untuk berbakti kepada mereka.

Katanya beliau akan menjadi pendengar yang setia kepada segala permasalahan penduduk seterusnya memperjuangkannya untuk keadilan bersama.

"Jadi saya berjanji, saya akan mendengar rintihan, masalah dan apa jua isu-isu yang ada di Hulu Selangor ini. Saya akan perjuangkan untuk kepentingan bersama.

"Saya mungkin bukan seorang pakar tetapi anda boleh jadikan saya seorang pakar. Saya mungkin bukan seorang yang cemerlang tetapi anda boleh menjadikan saya seorang yang cemerlang," katanya.

Kamalanathan berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau akan menegakkan prinsip Rukun Negara kerana prinsip itu prinsip rakyat Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan BN yang menggambarkan betapa pentingnya silaturrahim kepada semua rakyat. Justeru itu, beliau merayu agar diberikan peluang untuk mewakili suara rakyat di kawasan tersebut dan berjanji akan melakukan perubahan selagi termampu.

"Tolonglah beri peluang kepada saya untuk mengenali anda. Saya dengan sungguh rendah diri meminta bantuan, tolong jangan undi kerana saya Kamalanathan, tolong jangan undi kerana saya budak tempatan tetapi tolong undi kerana saya calon Barisan Nasional. Saya calon 1Malaysia, saya calon yang mewakili Perdana Menteri Malaysia dan saya calon yang akan mewakili anda semua selepas ini," katanya.

Kamalanathan akan berdepan dengan calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim dan dan dua calon Bebas - V.S Chandran dan Johan Mohd Diah. - BERNAMA

Artikel Lain