suria

Mayat Wanita Hamil Dalam Keadaan Reput Ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat wanita hamil yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan reput dan berulat di kawasan rekreasi Taman Tasik Perdana di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, mayat itu dijumpai orang awam yang kebetulan melalui kawasan terbabit kira-kira 6.30 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh enam hari akibat dijerut di leher dengan menggunakan sapu tangan, katanya ketika ditemui pada kempen derma darah peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Berjaya Times Square hari ini.

"Selain terdapat kesan mangsa dipijak di bahagian perut, pemeriksaan ke atas mayat itu juga turut menemui mayat janin berusia kira-kira 12 minggu yang dilihat keadaannya hampir terkeluar dari kemaluan mangsa," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, keadaan mayat yang reput turut menyukarkan polis untuk mengenal pasti bangsa dan identiti suspek.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu. Namun kita menemui seutas jam tangan berjenama Omega yang dipakai mangsa dan sebuah topi keledar di tempat kejadian," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan anggota keluarga supaya tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, seorang lelaki warga Indonesia cedera parah akibat ditikam di perut dalam satu kejadian samun berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad di Jalan Hishammuddin di sini pukul 11.30 pagi tadi.

Katanya, mangsa ditikam dengan pisau oleh salah seorang suspek selepas berlaku pergelutan apabila mangsa enggan menyerahkan barang berharganya kepada tiga lelaki tempatan ketika berjalan seorang diri di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya polis berjaya menahan dua suspek manakala seorang rakannya berjaya melarikan diri.

Mangsa dan seorang suspek yang patah kaki kanan akibat terjatuh ketika cuba meloloskan diri dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain