suria

Polis Tumpas Kumpulan Yunus Selepas Tahan Lima Lelaki

TEMERLOH: Polis berjaya melumpuhkan kegiatan rompakan dan samun bersenjata yang dilakukan satu kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Kumpulan Yunus selepas memberkas lima lelaki warganegara Indonesia dan seorang wanita tempatan di Kuala Krau dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, lima lelaki yang berumur antara 36 dan 42 tahun yang ditahan di sebuah rumah pada kira-kira pukul 11 pagi itu dipercayai mula terbabit dengan kegiatan rompak dan samun sejak awal tahun lepas.

Beliau berkata, kelima-lima mereka ditangkap selepas merompak sebuah rumah di Kampung Kelibang, Kerdau, dekat sini pada kira-kira pukul 3.30 pagi.

"Bertindak di atas maklumat, pasukan polis dengan kerjasama pasukan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang yang melakukan intipan berjaya mengesan tempat persembunyian mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, polis turut menemui beberapa barang hasil rompakan di dalam rumah itu seperti komputer riba, barangan kemas, wang tunai dan telefon bimbit selain beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan rompakan seperti pemotong besi, batang paip, pemutar skru dan beberapa bilah parang.

Ahmad Fadzillah berkata, hasil siasatan lanjut, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kuala Krau dan menahan seorang wanita tempatan berumur 40 tahun yang merupakan isteri kepada seorang lelaki Indonesia, selepas menemui 31 jenis barangan curi termasuk barang kemas, dan dadah dipercayai heroin.

"Bagaimanapun suami wanita itu yang dipercayai ketua kumpulan berkenaan berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara yang menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Beliau berkata, kelima-lima lelaki itu didapati berasal dari Batam, Lombok dan Mataram dan semua mereka mempunyai pasport perjalanan yang sah.

Ahmad Fadzillah berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata berkawan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum 20 tahun penjara dan sebatan atau keduanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain