suria

Polis Selesai Kes Bunuh Pemandu Yang Disangka Mati Kerana Kemalangan

NIBONG TEBAL: Dalam masa tujuh jam polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan pemandu kereta yang disangka mati akibat kemalangan jalan raya di Jalan Paboi di sini, selepas menahan seorang lelaki kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supritendan Shafien Mamat berkata polis berjaya menjejaki lelaki berusia 42 tahun itu menerusi nombor pendaftaran keretanya yang tertanggal di tempat kejadian.

"Polis mendapatkan maklumat lelaki yang berasal dari Alma, Bukit Mertajam dekat sini itu menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan dan pergi ke rumahnya, bagaimanapun dia tiada di rumah," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihaknya bertindak menghubungi lelaki terbabit yang kemudian bersetuju menyerah diri di Balai Polis Simpang Ampat di sini.

Shafien berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang dalam perjalanan pulang dari Parit Buntar, Perak telah terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan Lim Gim Beng, 52, di persimpangan Bukit Panchor awal pagi tadi.

Bagaimanapun katanya suspek tidak memberhentikan kereta menyebabkan Lim mengejar kereta suspek sebelum mereka sekali lagi terlibat dalam pelanggaran di Jalan Bakap.

"Berikutan tidak berpuas hati berlaku adegan kejar mengejar antara satu sama lain sejauh kira-kira 15 kilometer sebelum masing-masing terbabas di selekoh berhampiran kawasan pembinaan jejantas Jalan Paboi," katanya.

Kedua-dua lelaki itu yang tidak kenal antara satu sama lain kemudian terlibat dalam pergaduhan dan suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol telah bertindak memukul kepala Lim dengan batu.

Shafien berkata suspek kemudian meninggalkan tempat kejadian selepas mendapati Lim tidak bergerak tanpa menyedari nombor pendaftaran keretanya terjatuh di situ.

Mayat Lim dari Taman Alma, Bukit Mertajam ditemui orang awam yang menyangka dia maut akibat jalan raya pada pukul 4.10 pagi ini.

Bagaimanapun pemeriksaan polis mendapati terdapat tiga kesan pukulan di belakang kepala Lim yang dipercayai bukan akibat kemalangan jalan raya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain