suria

Polis Rampas CD Bernilai RM100,000, Tahan Dua Lelaki Di Cheras

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki serta merampas 10,000 keping cakera padat (CD) cetak rompak bernilai RM100,000 di sebuah rumah di Jalan Durian, Taman Cheras di sini ketika melakukan serbuan di premis berkenaan petang semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany ketika dihubungi berkata, kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 29 dan 46 tahun itu ditahan ketika sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan cakera padat terbabit untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua CD ini terdiri daripada CD rakaman lagu artis tempatan dan juga antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kediaman itu telah dijadikan tempat simpanan dan pembungkusan CD cetak rompak berkenaan sejak tiga bulan lepas.

"Kita juga percaya ada beberapa individu lagi yang terlibat dan kita masih lagi menyiasat dari mana bekalan cakera padat itu diperolehi," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain