suria

Dua Lelaki Bermotosikal Samun Pengurus Syarikat Dan Pelajar

KUANTAN: Seorang pengurus syarikat lelaki dan seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dipercayai menjadi mangsa samun dua lelaki bermotosikal yang sama dalam dua kejadian berasingan, di sini pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha berkata dalam kejadian pertama pukul 9 pagi, pengurus syarikat yang berusia 40-an itu disamun di hadapan rumahnya di Sungai Isap Perdana di sini apabila beg sandang yang diletakkan di dalam kereta dilarikan oleh dua suspek bermotosikal.

Katanya ketika kejadian itu dia sedang memanaskan enjin kereta dan mahu mengunci pintu rumahnya.

Nordin berkata sejam selepas kejadian itu, seorang pelajar perempuan diragut dua lelaki bermotosikal di perhentian bas di Wisma Belia Indera Mahkota di sini.

Katanya penunggang motosikal tersebut pada mulanya berpura-pura menanyakan pelajar tersebut tentang jalan sebelum dia dan rakannya di belakang meragut beg sandang yang dipegang oleh pelajar itu dan terus melarikan diri.

Menurutnya kedua-dua mangsa kehilangan komputer riba dan wang tunai di mana pengurus itu mengalami kerugian RM3,000 manakala pelajar tersebut kerugian RM1,500.

"Kita tidak menolak kemungkinan bahawa kedua-dua kes samun itu dilakukan oleh suspek yang sama dan pihak kita masih menyiasat perkara itu selain meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain