suria

Bekas Eksekutif Bank Negara Dipenjara Tiga Bulan Kerana Lima Kesalahan Rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif Bank Negara di Unit Pembersihan, Jabatan Harta dan Perkhidmatan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM157,925 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas lima pertuduhan rasuah.

Hakim Mohamad Sakeri Mamat menjatuhi hukuman itu setelah mendapati Mahathir Shahabudin, 52, gagal membuktikan sebarang keraguan munasabah ketika dipanggil membela diri.

Mohamad Sakeri berkata keterangan Mahathir hanyalah penafian semata-mata dan individu yang dikenali sebagai Hashim tidak dipanggil memberi keterangan sedangkan Mahathir menyatakan Hashim adalah orang yang berurusan dengan kontraktor.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohamad Sakeri memerintahkan Mahathir dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan; bagi tuduhan keempat dihukum penjara tiga bulan dan denda RM85,050 atau penjara enam bulan; manakala bagi tuduhan kelima, dipenjara tiga bulan dan denda RM42,875 atau penjara lima bulan.

Kesemua hukuman penjara itu berjalan secara serentak dan Mohamad Sakeri membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dikemukakan.

Mahathir, yang telah pun diberhentikan kerja, melakukan kesalahan itu berhubung pemberian kontrak kepada dua syarikat yang terlibat dalam pembersihan sampah dan mencuci permaidani di bank pusat tersebut.

Bagi kesalahan pertama dia didakwa menerima rasuah RM300 melalui akaun simpanannya daripada pengarah Syarikat First Choices Services, Anuar Paharudin sebagai upah mengekalkan kerja kontrak pelupusan sampah yang dilakukan oleh syarikat itu untuk Bank Negara.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Tingkat 1, Menara Maybank, Jalan Tun Perak pada jam 2.06 petang, 18 November 2005.

Mahathir juga didakwa menerima RM300 melalui akaunnya daripada Anuar pada jam 4.47 petang di tempat yang sama pada 2 Disember tahun yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Mahathir di lokasi yang sama didakwa menerima imbuhan RM800 lagi daripada Anuar bagi tujuan yang sama kira-kira 1 petang, 20 Oktober 2005.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima di tempat yang sama, Mahathir menerima dua keping cek masing-masing bernilai RM8,575 serta RM17,010 pada 30 Disember 2005 dan 16 Februari 2006 daripada pengarah Syarikat Indramuz Sdn Bhd, M Azhar Ibrahim.

Dia didakwa menerima suapan itu sebagai upah untuk memanggil syarikat berkenaan menjalankan kerja-kerja pencucian permaidani di bank berkenaan.

Kesemua pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah dan boleh dihukum menurut Seksyen 16, akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 2008, pihak pendakwaan telah memanggil 15 saksi. Mahathir diwakili oleh peguam Vasudevan Appu manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah menjalankan pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain