suria

Sindiket Proses Dadah Tumpas Dalam Tiga Serbuan

PULAU PINANG: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah dengan penahanan seorang pengarah syarikat dan lima lelaki lain dalam tiga siri serbuan bermula semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, nilai pasaran bagi dadah yang dirampas adalah sebanyak RM1.5 juta.

"Serbuan pertama pada 14 April (semalam) pukul 10 pagi polis berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah disyaki syabu di kawasan industri Cheruk To'kun Jaya, Bukit Mertajam.

"Hasil serbuan pihak polis berjaya menahan lima suspek berusia antara 30 hingga 60 tahun," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam serbuan itu polis merampas serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 3.8 kilogram, beberapa balang berisi cecair syabu dan pelbagai jenis pil disyaki dadah seberat 18.12 kilogram.

Selain itu turut dirampas ialah beberapa balang berisi cecair kimia untuk menghasilkan dadah dan pelbagai peralatan untuk memproses dadah jenis syabu.

"Polis turut merampas wang tunai RM83,070, empat buah kenderaan jenis Proton Wira, Nissan Shylpy, Proton Waja dan Naza Kia (RM240,000), barang kemas dan jam tangan (RM1,300) dan sebuah komputer riba (RM1,000), keseluruhannya bernilai RM325,370," katanya.

Katanya, hasil maklumat dalam serbuan pertama telah membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 50 tahun di sebuah rumah di kawasan Ayer Itam pada 10.15 pagi hari yang sama.

Dalam serbuan kedua polis merampas serbuk disyaki dadah ketamin sebarat 5.3 kilogram, 30 biji pil pelbagai warna disyaki dadah ectasy dan peralatan membungkus dadah, katanya.

Tun Hisan berkata, nilai pasaran dadah yang dirampas ialah RM80,000 dan polis turut menyita wang tunai sebanyak RM22,000 serta sebuah komputer riba bernilai RM1,000.

Beliau berkata, hasil daripada dua serbuan dan tangkapan semalam, polis berjaya menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal haram memproses dadah jenis syabu yang telah ditinggalkan di kawasan Sungai Pinang, George Town.

"Dalam serbuan itu polis menemui pelbagai peralatan dan bahan kimia yang telah digunakan untuk memproses dadah jenis syabu," katanya.

Katanya, kesemua enam orang suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 21 April ini dan mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil pemerhatian pihak polis yang dijalankan kurang daripada tempoh tiga bulan dan polis turut mempercayai sindiket itu memproses dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Lanjutan daripada siri serbuan dan tangkapan itu, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasa Dadah Filipina (PDEA), telah berjaya menangkap seorang pembawa bungkusan kepada sindiket ini dan merampas 15 kilogram dadah jenis syabu di Filipina, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain