suria

Polis Bongkar Operasi Cetak Rompak DVD

KUCHING: Polis Sarawak berjaya membongkar kegiatan mencetak rompak cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) dengan menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat sebagai pusat operasi dan menahan lima lelaki dalam serbuan di rumah itu di Jalan Stampin di sini, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supritendan Mohd Firdaus Abdullah berkata, dalam serbuan yang diadakan hasil maklumat awam itu, polis merampas pelbagai peralatan termasuk DVD dan CD cetak rompak bernilai RM115,000.

"Kita juga sedang menyiasat kemungkinan kegiatan mereka ini ada kaitan dengan kawasan lain yang luar bandaraya Kuching.

"Yang menarik mengenai operasi tersebut ialah mereka agak sistematik dengan setiap pekerja ada kad perakam waktu sendiri," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Katanya, kelima-lima suspek berumur 20 hingga 28 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, polis sedang memburu dalang kegiatan itu memandangkan lima suspek berkenaan hanya bertindak sebagai pekerja dan rumah yang digunakan sebagai tempat operasi adalah disewa.

Katanya, secara keseluruhan pada tahun ini, polis melakukan sebanyak 27 serbuan, majoritinya di Kuching, melibatkan rampasan DVD cetak rompak bernilai RM360,000. - BERNAMA

Artikel Lain