suria

Pelajar Tingkatan Lima Lari Ikut Kekasih

KULIM: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima tidak pulang ke rumah sejak 45 hari lepas dipercayai lari mengikut kekasihnya yang dikenalinya di sebuah pasar malam.

Bapa gadis itu, Mohd Tahir Lazim, yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan di sini mengenai kehilangan anak gadisnya itu pada 6 Mac lepas, amat berharap anaknya pulang ke rumah.

Katanya, motosikal yang digunakan anaknya itu, Norhafizah, 17, untuk pergi ke sekolah setiap hari turut hilang bersama gadis itu pada hari dia menghilangkan diri pada 1 Mac lepas.

Mohd Tahir, 55, seorang pemandu lori, berkata, pada hari kejadian, anak gadisnya itu telah menunggang motosikal bersama-sama adik lelakinya Mohd Tasmin, 14, untuk pergi ke Sekolah Menengah Sungai Karangan pada kira-kira pukul 7 pagi.

"Tetapi seperti yang diberitahu Mohd Tasmin, kakaknya itu pada hari tersebut tidak terus ke sekolah tetapi setelah menghantarnya memberitahunya dia mahu pulang ke rumah kerana mahu menukar pakaian seragam sekolah dan akan datang semula ke sekolah untuk menghadiri kelas", katanya Mohd Tahir kepada pemberita di rumahnya di Kampung Paya Jemarli, dekat sini, hari ini.

Katanya, isterinya Junaidah Mat Hasan, 55, hanya menyedari kehilangan anaknya pada lewat petang dan dimaklumkan oleh rakan sekelasnya yang dia tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.

Dia yang ketika itu bekerja di Perai telah bergegas pulang dan telah mencari anaknya itu di tempat-tempat yang sering dikunjungi anaknya itu tetapi gagal menemuninya, kata Mohd Tahir.

"Pada mulanya tidak terfikir bahawa Nurhafizah akan lari mengikut teman lelakinya kerana anak saya itu adalah antara pelajar yang pintar dalam kelasnya kerana itulah dia mendapat biasiswa kerajaan", katanya.

Bagaimanapun, setelah menghubungi keluarga lelaki berkenaan, barulah dia mengesyaki Nurhafizah telah lari mengikut lelaki tersebut kerana lelaki itu juga didapati tiada di rumahnya.

Junaidah pula berkata, pelbagai cara telah lakukan keluarga tersebut untuk mengesan lokasi anak gadisnya itu berada tetapi menemui jalan buntu dan merayu anaknya itu kembali kepada keluarga.

"Tidak ada pun sebarang pertelingkahan yang berlaku dengan saya atau bapanya juga kakak-kakak dan adiknya selama ini" jelas Junaidah sambil memberitahu Nurhafizah juga tidak membawa MyKadnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Mohd Salleh ketika dihubungi berkata, polis sedang menyiasat kehilangan pelajar itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelajar itu diminta menghubungi mana-mana balai polis atau Mohd Tahir di talian 019-4238711. - BERNAMA

Artikel Lain