suria

Najib Antara 'Pemenang' Kerana Bertemu Obama : Washington Post

WASHINGTON: Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini menghasilkan beberapa "pemenang" dan seorang daripada mereka ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana diberi penghormatan berbincang secara persendirian dengan Presiden Barack Obama, demikian seorang penulis akhbar berpengaruh The Washington Post.

Sehari selepas sidang kemuncak itu berakhir, Al Kamen telah menulis dalam ruangan "In The Loop" mengenai beberapa pemimpin terpilih daripada kalangan 36 orang ketua kerajaan dari 46 negara yang dijemput oleh Obama ke sidang kemuncak itu dan yang mendapat keistimewaan mengadakan pertemuan dua hala dengan beliau.

"Pemenang pada sidang kemuncak minggu ini mudah dikenal pasti. Mereka adalah pemimpin yang mengadakan perbincangan empat mata dengan Obama, satu bukti mengenai prestij dan kedudukan mereka ini," kata Kamen.

Menurut beliau, Presiden China Hu Jintao yang mengadakan pertemuan 90 minit dengan Obama mendahului senarai itu, diikuti Raja Abdullah dari Jordan, Najib, Presiden Viktor Yanukovich dari Ukraine, Presiden Serzh Sargsian dari Armenia, pemangku Presiden Nigeria Goodluck Jonathan dan Menteri Luar Mesir Ahmed Aboul Gheit.

Kamen berkata Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama membuat permohonan tetapi tidak berpeluang berbincang dengan Obama.

Obama mengadakan beberapa pertemuan dua hala, bermula dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dan berakhir dengan Canselor Jerman Angela Merkel, satu-satu pemimpin dari Kesatuan Eropah yang berbuat demikian.

Pertemuan Najib dengan Obama, yang pertama antara kedua-duanya pada Isnin, berlangsung selama 40 minit sebelum bermulanya sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Walter E.Washington.

Semalam, ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Obama itu, Perdana Menteri berkata bahawa untuk mendapatkan sedikit masa bersama Presiden Amerika Syarikat itu semasa satu sidang kemuncak yang dihadiri 47 pemimpin membawa erti yang besar.

"Ia bermakna kita dilihat sebagai penting dan Malaysia dilihat sebagai penting," katanya.

Sambil menjangkakan bahawa hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat akan menjadi lebih produktif dan menarik, Najib berharap Malaysia akan terus dibawa berunding oleh pentadbiran Obama.

Dalam ucapannya pula, Perdana Menteri berkata kerjasama Amerika Syarikat dengan negara-negara Asia Tenggara telah membantu rantau itu membanteras keganasan termasuk oleh rangkaian kumpulan militan Jemaah Islamiah yang dikaitkan dengan Al Qaeda.

"Malahan kerjasama Malaysia dan Amerika Syarikat dalam soal ini semakin meningkat. Saya amat berharap kerjasama ini akan berterusan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain