suria

Murugiah Akan Kemuka Rayuan Ke Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan Tribunal Timbang Tara Malaysia (MATE) yang sebelum ini mengesahkan beliau sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP).

"Mahkamah telah membuat keputusan dan mengistiharkan keputusan MATE tidak efektif selepas permohonan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi.

"Saya kecewa dengan keputusan itu, saya tidak akan berputus asa dan akan terus merayu ke Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, rayuan itu akan difailkan oleh peguam yang mewakilinya, Sreekant Pillai dalam waktu terdekat.

Semalam, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan MATE yang sebelum ini mengesahkan Murugiah sebagai Presiden PPP adalah tidak berkesan.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Aziah Ali. - BERNAMA

Artikel Lain