suria

Muhyiddin Minta Semua Parti Komponen BN Bersatu

KUALA LUMPUR: Dengan tempoh tinggal kurang dari 24 jam sebelum Barisan Nasional (BN) mengumumkan nama calonnya untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta supaya semua anggota komponen dan petugas parti untuk bersatu menyokong parti bagi memastikan kemenangan.

Muhyiddin, pengarah operasi BN bagi pilihan raya kecil itu berkata BN boleh merampas kembali kerusi parlimen yang jatuh ke tangan PKR pada pilihan raya umum 2008 itu dengan syarat semua pihak bekerja keras dan melakukan segala yang termampu untuk meraih kemenangan.

"Hari ini BN akan menamakan calonnya. Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menetapkan bahawa calonnya perlu daripada parti MIC. BN akan mengumumkan nama calonnya esok," kata Timbalan Perdana Menteri itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama malam tadi.

Oleh itu mari tunjukkan kepada pengerusi BN bahawa semua akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan. Semua pihak bekerja keras di peringkat akar umbi dan parti komponen setia menyokong BN," tambahnya.

"BN komited kepada prinsip utama perkongsian kuasa yang berjalan dengan lancar selama ini. Saya ingin ingatkan kepada orang ramai supaya kekal dengan rancangan asal. Marilah sama-sama bekerjasama demi kepentingan rakyat," katanya.

Hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi pada 25 April. -BERNAMA

Artikel Lain