suria

Lelaki Mati Dalam Pergaduhan Akibat Mabuk

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati dalam satu pergaduhan dipercayai akibat mabuk di hadapan sebuah rumah teres di Jalan Cemperai 10, Taman Rasa Utama di Rasa dekat Hulu Selangor pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata sebelum kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa Prakas a/l Dramenderaroa, 33, dipercayai sedang minum minuman keras bersama lima rakannya di hadapan rumah tersebut.

"Mangsa bersama rakannya berborak dan dipercayai minum hingga mabuk, sebelum perbualan rancak itu tiba-tiba bertukar kepada pertelingkahan antara mangsa dan beberapa rakannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kening kiri dipercayai dihentak menggunakan senjata tumpul.

Katanya bahagian bawah dagu mangsa turut terbelah dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam selain cedera di kedua-dua belah lututnya.

"Rakan-rakannya melarikan diri selepas mendapati mangsa mati termasuk rakannya yang tinggal di rumah teres berkenaan," katanya.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan sepasang suami isteri berusia 45 da 47 tahun yang dipercayai turut sama bertengkar dengan mangsa bagi membantu siasatan.

Katanya, tiada unsur poltik dan polis kini sedang memburu tiga lagi rakannya yang merupakan suspek utama dan siasatan sedang diteruskan. - BERNAMA

Artikel Lain