suria

Kerajaan Tidak Kompromi Soal Prinsip, Kata Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah berkompromi mengenai prinsip negara semata-mata untuk merapatkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Malaysia bukan ikut telunjuk Amerika Syarikat. Itu tidak benar kerana Malaysia sebuah negara yang ada pendirian sendiri, apa yang hendak dibuat ialah cuma hendak rapatkan hubungan tanpa kompromi prinsip.

"Itu bukan bermakna kita baik dengan mereka (Amerika Syarikat), kita buang prinsip kita," katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2010 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini semalam.

Katanya Malaysia juga jelas tidak akan berganjak daripada prinsip menyokong Iran menghasilkan nuklear bagi tujuan tenaga namun tidak bersetuju jika ia digunakan bagi kegunaan ketenteraan.

Beliau berkata Malaysia juga bukan satu-satunya negara Islam yang menjalinkan hubungan dengan Amerika Syarikat.

Terdahulu ketika menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu), Mohamed Nazri menjelaskan kontrak antara Apco Worldwide Sdn Bhd tidak berakhir dengan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama baru-baru ini.

Beliau turut mengakui hubungan dengan Amerika Syarikat sebelum ini tidak ditekankan kerana keutamaan yang berbeza oleh Perdana Menteri terdahulu.

"Saya katakan bahawa keutamaan kepada Perdana Menteri sekarang ialah untuk memastikan hubungan lebih erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Kalau hendak eratkan hubungan dengan Amerika Syarikat, mana mungkin kerajaan gunakan firma tempatan untuk buat kerja di Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata khidmat Apco Worldwide yang berasal dari Amerika Syarikat dipilih berbanding firma tempatan bagi menjalankan tugas merapatkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat disebabkan budaya yang berbeza di sana.

"Kita tahu Amerika Syarikat ada budaya lobi. Sudah tentulah kalau nak lobi pentabiran kerajaan Amerika Syarikat, perlu guna syarikat yang lebih dikenali di sana," katanya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika menggulung perbahasan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula meminta semua pihak termasuk anggota Parlimen supaya tidak berterusan memainkan isu Jawatankuasa Antara Agama kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan.

Katanya fungsi penubuhan jawatankuasa itu adalah sebagai mempromosi persefahaman bersama dan harmoni di kalangan pelbagai agama serta tidak mempunyai kuasa perundangan.

"Jawatankuasa ini tidak sepatutnya mempunyai kuasa perundangan kerana fungsinya adalah untuk berdialog. Sekiranya terdapat hasil daripada perbincangan itu yang menyentuh perkara-perkara perundangan, ia akan dibawa untuk perhatian jemaah menteri untuk pertimbangan.

"Kita mesti faham bahawa dengan jelasnya dalam Perlembagaan, kuasa mengenai hal ehwal Islam, ia terletak di bawah Majlis Raja-Raja. Inilah satu perkara yang harus difahami dan hormati. Ia tak patut menjadi satu isu," katanya.

Koh berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak bagi penambahbaikan jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa itu akan membabitkan penyertaan wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam (IKIM) dan Majlis Perundingan mengenai agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois Malaysia (MCCBCHST).

Persidangan dewan disambung hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain