suria

Kanak-Kanak Tiga Tahun Meninggal Dunia Kerana Jangkitan Kuman

SUBANG: Kanak-kanak malang, Lee Swee Hui, yang meninggal dunia semalam dipercayai akibat didera, mengalami jangkitan kuman pada paru-paru yang dikenal pasti menjadi punca kematian.

Laporan bedah siasat terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun, yang dilakukan di Hospital Serdang, mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan dalaman sebaliknya mengesan terdapat lebih 60 kesan lebam baru dan lama pada badan mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang dimaklumkan mengenai hasil laporan bedah siasat itu berkata pemeriksaan yang dilakukan di rumah sepasang suami isteri di Taman Bukit Serdang semalam bagaimanapun tidak menemui objek tumpul yang mungkin digunakan terhadap mangsa.

"Kita tidak menolak kemungkinan ia (objek) telah dibuang," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pasangan suami isteri yang ditahan semalam disahkan positif dadah jenis syabu namun polis tidak menemui sebarang jenis dadah di dalam rumah suspek.

Zainal Rashid berkata, Lee sebelum ini tinggal bersama keluarga angkatnya sejak kecil dan baru sebulan tinggal bersama pasangan itu.

"Pasangan tersebut juga tidak mengalami masalah mental dan kes ini tiada kaitan dengan keluarga angkat mangsa," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu ditahan reman sehingga 20 April untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Lee meninggal dunia selepas dihantar oleh bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan di Poliklinik Komuniti Seri Kembangan di sini, kira-kira pukul 7.45 pagi semalam. - BERNAMA

Artikel Lain