suria

Kamalanathan Direstui MIC

RAWANG: Calon Barisan Nasional (BN), bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, pemilihannya mewakili parti itu adalah dengan restu kepimpinan tertinggi MIC.

Malah Ketua Penerangan MIC itu menafikan desas-desus yang mengatakan beliau akan disabotaj oleh pihak-pihak tertentu kerana tidak berpuas hati dengan pemilihannya sebagai calon.

"Saya dijadikan calon kerana mendapat restu oleh Presiden dan Timbalan Presiden parti dan juga jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC.

"Saya rasa tidak (diboikot), ia takakan berlaku kerana saya bukan bertanding sebagai calon MIC tapi calon BN, saya mewakili parti BN, saya mewakili jenama 1Malaysia," katanya ketika ditemui media selepas diumumkan sebagai calon.

Majlis pengumuman calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diadakan di Pusat Operasi BN, di Bukit Sentosa, di sini hari ini.

Kamalanathan, 44, berasal dari Sungai Choh, Rawang.

Menurutnya, beliau amat terkejut apabila dimaklumkan dipilih sebagai calon oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu melalui telefon tengah hari tadi.

"Terkejut, amat terkejut... saya terharu, saya menitiskan air mata kerana tak sangka (dipilih sebagai calon)," katanya.

Pemilihannya sebagai calon telah mengenepikan dua lagi nama pemimpn MIC yang disebut-sebut iaitu Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat, V. Mugilan.

Diminta mengulas mengenai 'kehilangan' Palanivel pada majlis pengumuman berkenaan, beliau berkata: "Mungkin beliau ada tugas lain, tapi kita nampak semua ketua pemimpin BN ada di sini, ini menunjukkaan mereka memberikan pengiktirafan yang sepenuhnya."

Beliau bakal berhadapan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang berasal daripada Kota Bharu.

Mengulas mengenai lawannya yang juga merupakan bekas menteri, Kamalanathan berkata beliau enggan menyentuh mengenai perkara yang berkaitan dengan peribadi calon.

Sebaliknya beliau berkata akan menggunakan pendekatan 'mesra rakyat' bagi memenangi hati pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

"Saya akan turun padang, apa yang penting ialah perjuangan BN, bagi saya apa yang penting perjuangan parti ini, inilah yang akan memenangkan kita, dan bukannya parti pembangkang.

"Saya akan cuba sedaya upaya kerana kejayaan ini tak boleh perolehi dengan usaha saya seorang, ia mesti dengan kerjasama semua pihak," katanya.

Tambahnya, beliau akan menumpukan kepada usaha pembangunan infrastruktur dan prasarana di Hulu Selangor jika diberi amanah menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Artikel Lain