suria

Di Australia Anda Akan Ditangkap Sebelum Anda Mencederakan Seseorang

BARU-BARU ini saya pulang bercuti ke Malaysia, rasa rindu setelah sekian lama tidak pulang mengambit perasaan ingin kembali dengan segera.

Alangkah bangganya saya melihat pembangunan pesat negara yang tercinta, terkuit di hati bertapa bangganya aku menjadi anak Malaysia, walaupun hidup banyak dihabiskan di rantau.

Akan tetapi sesuatu yang saya pasti tidak ada perubahan langsung, malah lebih teruk rasanya, adalah sikap pemanduan rakyat Malaysia.

Sepanjang perjalanan dari KLIA ke Petaling Jaya, perasaan ngilu serta cemas sentiasa berombak-ombak, sambil doa sentiasa di bibir mulut agar selamat sampai ke destinasi.

Suasana ini memaksa saya membuat perbandingan dengan cara warga Australia memandu yang cukup berbeza dengan orang kita. Sebagai makluman, kaedah pemanduan di sebelah kanan di Australia adalah seperti di Malaysia. Ini secara tidak langsung memudahkan pemandu Malaysia memandu di sini.

Akan tetapi amat sukar untuk kita temui pemandu yang memandu secara merbahaya. Sikap hormat menghormati antara pemandu amatlah tinggi, malah cukup jarang berjumpa dengan pemandu yang suka memotong “q”.

Jika berlaku sesuatu kemalangan jalanraya, ia merupakan sesuatu yang agak luarbiasa, sehinggakan akan mendapat liputan yang cukup meluas di dada-dada akhbar mahupun tv.

Jalanraya mereka juga cukup selamat, tanpa ada lompang di merata tempat. Pemandu motosikal dimestikan memakai pakaian khas untuk mengelak berlakunya kecederaan serious pada diri mereka.

Keadaan kenderaan mestilah selamat dan hendaklah mendapat kelulusan dari pihak berwajib untuk berada di atas jalan raya. Disebabkan peraturan ketat ini, insuran kenderaan bukanlah sesuatu yang wajib untuk setiap kenderaan berenjin di sini.

Di Australia, hal-ehwal pengangkutan jalan diletakkan di bawah seliaan negeri berbeza dengan Malaysia yang di bawah takluk kuasa kerajaan persekutuan.

Sebagai pemandu di Australia, kita harus berwaspada dengan perbezaan peraturan jalanraya yang diaplikasi di setiap negeri.

Bermula pada penghujung tahun 2009 terdapat beberapa peraturan baru jalan raya (tambahan) yang telah dikuatkuasakan oleh VicRoads (umpama JPJ di Malaysia).

Tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan jalan raya, juga penyeragaman dengan peraturan seumpamanya di lain-lain negeri di Australia.

Kerajaan Victoria melalui VicRoads telah meletakkan sasaran pengurangan kadar kemalangan jalan raya sehingga 30% menjelang tahun 2017 melalui kempen Arrive Alive Campaigns 2008-2017.

Untuk pengetahuan semua, had laju di sini pelbagai, walaupun di lebuhraya, sebagai pemandu kita harus berhati-hati dengan had laju yang ditetapkan.

Perangkap had laju di sini berbeza dengan Malaysia. Kalau di Malaysia kita akan nampak penguatkuasa duduk di tengah-tengah jalan bersama dengan alat perangkap had laju, tetapi di sini, penguatkuasa akan memandu kereta biasa yang lengkap dengan peralatan perangkap had laju dan anda tidak akan perasan akan kehadiran mereka.

Ini akan membuatkan anda sentiasa berhati-hati dalam pemanduan, jika anda melebihi had laju yang telah ditetapkan untuk sesuatu kawasan, anda akan diberi saman secara pos, dan perlu menjelaskan saman tersebut dalam tempoh 14 hari.

Pada masa yang sama merit pemanduan anda akan dipotong. Jika 20 mata merit dipotong anda akan terus dilarang untuk memandu sebarang kenderaan di sini.

Kaedah meletak kenderaan juga cukup berbeza di sini. Kenderaan boleh diletakkan di tepi jalan yang dibenarkan di mana terdapat single/double continuous line atau dividing strip di sebelah kanannya.

Syaratnya, jaraknya mestilah lebih 3 meter dari tanda garisan berkenaan. Meletak kenderaan di slip lane dan painted islands adalah dilarang sama sekali.

Perlu diingat, setiap kenderaan yang diletak di tepi jalan mestilah menghadap sama arah dengan kenderaan yang melaluinya. Jika tidak anda akan di saman atas kesalahan memandu di arah yang bertentangan.

Ini adalah peraturan sedia ada yang berlainan dengan kaedah meletak kenderaan di tepi jalan di Malaysia.

Sementara itu, setiap pemandu bertanggungjawab untuk memastikan setiap penumpang memakai tali pinggang termasuk kanak-kanak di kerusi khasnya. Lebihan penumpang dari bilangan tali pinggang yang tersedia adalah satu kesalahan berat.

Kanak-kanak yang berumur 4 – 7 tahun (berat maksimum 26 kg) mesti menggunakan booster seat atau child restraint yang dilengkapi safety harness.

Manakala Kanak-kanak yang berusia 6 bulan – 4 tahun (berat maksimum 18 kg) mesti menggunakan child restraint atau rear-facing capsule.

Kanak-kanak bawah 6 bulan (berat maksimum 9 kg – 12 kg) diwajibkan menggunakan rear-facing capsule.

Kanak-kanak di atas dilarang duduk di kerusi hadapan bersebelahan pemandu kecuali kesemua kerusi di tempat duduk belakang dipenuhi kanak-kanak sebaya. Itupun hanya kanak-kanak antara umur 4 – 7 tahun sahaja dibenarkan.

Peraturan direka untuk keselesaan semua pihak, namun tidak ada gunanya peraturan tersebut jika pengkuatkuasaan lemah dan terlampau menggunakan budi bicara.

Teringat akan slogan polis trafik di sini “You will be caught before you hurt somebody.”

Apa-apa pun saya selesa menggunakan pengangkutan awam dari membawa kenderaan sendiri. Mungkin kepulangan saya akan datang akan meyaksikan perubahan drastik pengangkutan awam di Malaysia….Malaysia Boleh!

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan Honorary Visiting Academician di University Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Lain