suria

Calon Hulu Selangor: Tidak Ikut Faktor Kaum

PETALING JAYA: Faktor perkauman bukan penentu dalam pilihan pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya pengundi akan memilih seorang wakil yang berupaya memahami dan sedia menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.

"Tak kira kaum apa pun, bagi saya yang penting pengundi tahu siapa yang mereka mahu.

"Mereka tak lihat pada sudut kaum tapi melihat kepada siapa yang mereka fikir boleh bantu mereka, menolong selesaikan masalah serta (wakil) yang biasa dan faham dengan kawasan itu," katanya pada sidang media di sini semalam.

Selain itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata pemilihan wakil MIC di kalangan anak tempat mampu memberi kelebihan kepada parti itu.

Menurutnya, antara maklum balas yang diterima daripada pengundi di kawasan berkenaan ialah mereka mahukan wakil rakyat dari kalangan penduduk tempatan yang memahami masalah setempat.

"Antara perkara yang kita dengar dikehendaki oleh penduduk ialah mereka mahukan wakil yang datang daripada kawasan itu," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau berkata BN sudah bersedia menghadapi bekas anggota Umno itu dengan pelbagai strategi.

Ditanya sama ada pemilihan Zaid yang bukan anak tempatan di kawasan itu bukti PKR sudah ketandusan calon, beliau berkata: "Saya dimaklumkan dia dipilih kerana dia banyak duit... itu maklumat yang saya terima daripada banyak saluran media.

"Jadi bukan sebab dia boleh berkhidmat, siapa tak kenal Zaid Ibrahim?"

Katanya lagi, pengundi di Hulu Selangor juga boleh mengukur calon terbaik untuk mewakili mereka kerana Zaid mempunyai rekod keluar masuk pelbagai parti politik.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, BN tidak akan bersikap terlalu yakin sebaliknya akan terus bekerja keras bagi merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan.

"Kita biasanya tidak akan mengambil sikap terlalu yakin kerana kita sukar membaca sikap pengundi secara total, mereka mungkin kata ya, tetapi di belakang mungkin kata tidak, atau mereka kata tidak tapi sebenarnya ya.

"Apa yang penting ialah kita bekerja keras, kita tidak boleh (seperti) orang kata ambil mudah kononnya kita pasti menang. Sikap ini bagi saya dari awalpun tidak baik, jadi kita akan berhati-hati," katanya.

Berhubung peluang BN untuk memenangi pilihan raya ini, beliau berkata: "Kami mempunyai peluang setara. Saya percaya berdasarkan kepada sentimen yang terkini di mana di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), angin perubahan sudah berlaku.

"Ekonomi sudah bertambah baik dan berbagai-bagai faktor yang memberikan kelebihan kepada kita, saya harap itu akan menjadi asas pertimbangan oleh pengundi."

Artikel Lain